no comments

“Kami Tak Layak Letak Dalam Muzium, Tapi Dewan Kemasyhuran” – Khalid Ali Bidas KJ

Susulan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, yang menyarankan supaya bekas pemain kebangsaan supaya berehat di ‘muzium’, bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali pula mengakui kecewa dengan Khairy Jamaluddin.

Kata bekas pemain tengah skuad Olimpik 1980 itu, dia dan rakan sepasukan sudah berjuang habis-habisan untuk membawa nama Malaysia dan pengorbanan mereka terbalas apabila berjaya melayakkan diri ke saingan berprestij itu.

“Layak ke Olimpik satu pencapaian yang paling besar dalam sejarah bola sepak negara. Jadi, tidak sepatutnya bercakap kami perlu duduk di muzium sedangkan kami pernah berhempas pulas bermain untuk skuad negara.

“Apapun, saya menganggap kenyataan Khairy itu hanyalah sebagai gurauan. Daripada letak kami di muzium, lebih baik letakkan kami di Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) kerana bagi saya, itu lebih menghormati kami,” katanya hari ini.

Khalid yang juga bekas pemain Selangor bagaimanapun mengakui gandingan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang akan dibantu Khairy mampu memberi suntikan baharu untuk menaikkan semula imej bola sepak di negara ini.

“Saya yakin kepemimpinan baharu FAM yang diterajui Tunku Ismail dapat mengubah senario bola sepak Malaysia. Pelbagai kejayaan seperti skuad bawah 23 tahun negara (B-23) dan skuad bawah 19 tahun (B-19) sudah dapat disaksikan dan sudah pasti ini membawa satu petanda positif,” katanya.

Semalam, Khairy menggesa semua pihak terutama bekas pemain kebangsaan supaya berhenti menyalahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pengurusan FAM berhubung prestasi buruk skuad Harimau Malaya dan kemerosotan ranking dunia.

“Saya berharap suara-suara bekas pemain kebangsaan berhenti daripada terus lantang mengkritik Tunku Ismail dan FAM biarpun kita hargai pandangan mereka sebagai orang lama.

“Pada saya, mereka sepatutnya berehat di ‘muzium’, berilah generasi baharu mengendalikan bola sepak negara,” kata Khairy.

Kenyataan Khairy itu susulan selepas kritikan bekas pertahanan skuad Olimpik Moscow 1980, Datuk Jamal Nasir Ismail yang mendakwa antara punca kemerosotan prestasi dan ranking skuad kebangsaan disebabkan penghijrahan pemain bintang tempatan ke skuad Johor Darul Ta’zim (JDT).

BHarian Online

Reply