no comments

Musa Aman Ditahan Polis, Tapi Mahkamah Tolak Reman

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, menyesahkan Tan Sri Musa Aman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga telah ditahan pada jam 10 pagi tadi.

Bagaimanapun, katanya, permohonan polis untuk menahan reman Musa mengikut Seksyen 117, Kanun Prosedur Jenayah ditolak Mahkamah Majistret.

“Betul, ditahan jam 10 pagi. Tapi gagal direman setelah ditolak oleh majistret,” katanya dalam jawapannya melalui aplikasi WhatsApp kepada pemberita sebentar tadi.

Berikutan keputusan mahkamah itu, Ramli berkata Musa dibebaskan dengan jaminan polis.

Musa yang masih belum mengangkat sumpah sebagai ADUN dikehendaki polis berikutan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada majlis angkat sumpah 10 Mei lepas. Beliau turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menyogok Ahli Dewan Undangan Negeri.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu menghilang diri lebih tiga bulan dengan meninggalkan negara, akhirnya pulang ke tanah air pada 21 Ogos lepas. Beliau kini berada di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor untuk meneruskan rawatan.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen, mengatakan musa tiba menaiki pesawat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dari Singapura pada pukul 6.45 petang (selasa).

Pengawal peribadi dan pegawainya serta anggota polis dilihat berada di kawasan sekitar di hospital swasta berkenaan. Kawalan ke atasnya diperketatkan dengan pegawai hospital tidak membenarkan kehadiran pelawat tanpa izin.

Reply