Masih Perak, Lee Chong Wei Tetap Hero Rakyat Malaysia
Badminton Olimpik Rio: Perak Masih Buat Malaysia, Lee Chong Wei Tetap Hero Rakyat Malaysia
Harapan negara untuk meraih pingat emas pertama tidak kesampaian apabila pemain harapan negara, Datuk Lee Chong Wei tewas kepada pemain dari China Chen Long, dalam saingan peringkat akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik, Rio sebentar tadi.
Jaguh badminton negara itu membawa pulang pingat perak untuk Malaysia setelah berhempas-pulas mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki di Olimpik Rio itu.
Perlawanan di Riocentro Pavilion itu berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Chen Long dengan straight set 21-18, 21-18.
Pada set pertama, Chong Wei berhati-hati menyusun rentaknya namun masih tidak dapat menjarakkan kiraan mata daripada Chen Long. Kedua-duanya saling mengekori hingga menghampiri mata akhir, namun Chen Long memenanginya dengan 21-18.
Set kedua terus menyaksikan Chong Wei lebih agresif memburu mata, namun kemaraannya disekat Chen Long hingga ke mata ke-18.
Ini adalah kekalahan amat pedih buat Chong Wei dan seluruh rakyat Malaysia kerana 3 kali berturut-turut pemain nombor satu dunia itu beraksi di pentas final, selepas tewas kepada Lin Dan di Beijing 2008 dan London 2012.
Skuad badminton negara menyumbangkan tiga pingat perak kepada Malaysia melalui acara yang diwakili Chong Wei ini, selain acara beregu lelaki dan beregu campuran. –Astro Awani