no comments

Tidak Benar: MAS Jelaskan Tiada Pelepasan Caj Bagasi Untuk Najib

Selepas tular satu dakwaan negatif terhadap syarikat penerbangannya, Malaysia Airlines (MAS) hari ini menjelaskan mereka tidak memberi sebarang pengecualian caj bagasi buat bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama keluarganya yang bercuti ke Langkawi.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini syarikat penerbangan itu menjelaskan apabila penumpang mendaftar masuk secara berkumpulan, semua bagasi boleh disatukan dan ditanda di bawah satu nama.

Keadaan itu kata MAS mungkin “kelihatan sebagai bagasi berlebihan dalam sistem”.

“Dalam kes yang tersebut, jumlah bagasi yang didaftar masuk oleh kumpulan penumpang terbabit masih dalam kadar yang dibenarkaan.

“Malaysia Airlines sentiasa mematuhi dengan ketat dasar mengenai bagasi berlebihan dan boleh mengesahkan tiada pelepasan diberi,” kata kenyataan berkenaan.

MAS juga berkata pihaknya sedang menyiasat sumber yang menyebabkan imej tangkap layar mengenai butiran penerbangan Najib tersebut menjadi tular.

Sebelum ini, Najib dan keluarganya didakwa mendapat pelepasan caj bernilai lebih RM17,000 walaupun berat bagasi mereka melebih setengah tan.

Percutian di pulau peranginan tersebut turut disertai enam yang lain termasuk isteri Najib, Rosmah Mansor, anak, menantu dan cucu mereka.

Sementara itu seorang veteran industri penerbangan memberitahu, berdasarkan tangkap layar yang tular itu Najib dan keluarganya terbang sebagai penumpang kelas bisnes.

Dia yang enggan dikenali menambah, dua daripada mereka juga anggota kelas platinum syarikat penerbangan berkenaan.

Difahamkan selain rombangan Najib dan keluarga, penerbangan terbabit juga disertai 17 penumpang lain yang menaiki pesawat udara berkenaan di tempat duduk kelas ekonomi.

Berdasarkan maklumat pada laman sesawang MAS, anggota platinum dikecualikan bayaran bagasi 100 peratus, manakala penumpang kelas bisnes mendapat kelebihan sehingga bagasi 80kg. Penumpang kelas ekonomi pula tidak dikenakan bayaran untuk bagasi dengan berat sehingga 30kg.

Mengikut kemudahan semasa yang diberikan MAS, rombongan Najib yang turut melibatkan dua anggota platinum boleh membawa masuk sehingga 840kg bagasi tanpa dikenakan caj tambahan.

Najib dan keluarga berada di Langkawi untuk bercuti selama lima hari dan telah kembali ke Kuala Lumpur pada 20 Jun menaiki pesawat komersial tersebut.

Percutian Najib dan keluarganya ke Langkawi itu adalah yang pertama sejak BN tewas mengejut dalam pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei lalu.

Sebelum ini Najib dan Rosmah bercadang ke Indonesia untuk bercuti selepas tamat PRU ke-14 lalu namun hajat pasangan terbabit tidak kesampaian apabila nama mereka disenarai hitam oleh kerajaan Malaysia.

Reply