no comments

Malaysia Tetap Mara Biarpun Tewas Tipis Kepada Bahrain

Perlawanan terakhir skuad muda Malaysia dalam Kumpulan E menyaksikan kekalahan tipis di tangan Bahrain pada pentas Sukan Asia 2018.

Skuad negara dilihat tidak menunjukkan taring sebenar pada aksi terakhir itu apabila Datuk Ong Kim Swee menurunkan pemain simpanan dan merehatkan sebahagian besar pemain utama ketika tewas 2-3 kepada Bahrain.

Sedar keputusan menentang Bahrain tidak mengubah kedudukan sebagai juara kumpulan, Kim Swee hanya mengekalkan tiga pemain – Baddrol Bakhtiar, Adam Nor Azlin dan Muhammad Syahmi Safari – dalam kesebelasan utama yang menumbangkan Korea Selatan, Jumaat lalu.

Malah, ia dilihat tindakan yang wajar selepas pemain utama bekerja keras dalam dua perlawanan awal selain barisan kejurulatihan Jepun turut dilihat bertandang ke Stadium Wibawa Mukti, bagi mengintai permainan skuad negara.

Bahrain kendalian Samir Chammam lebih banyak menguasai perlawanan sebelum skuad negara mula mengatur gerak dan meledak menerusi rembatan kencang Syahmi Safari pada minit ke-20.

Ia membakar semangat pemain negara apabila berpeluang menggandakan kedudukan dua minit kemudian namun rembatan M Kogileswaran diselamatkan pertahanan lawan di garisan gol.

Ketika Malaysia mensia-siakan beberapa peluang, lawan kemudian menyamakan kedudukan menerusi Mohamed Hardan pada minit ke-33 selepas hantaran pertahanan negara, Adam Nor Azlin berjaya dipintas lawan.

Belum sempat Malaysia memperkemaskan permainan, Bahrain mendahului pada minit ke-37 menerusi tandukan kencang Hamad Alshamsan menewaskan Ifwat Kamal Chek Kassim buat kali kedua hasil sepakan penjuru.

Kim Swee cuba memburu gol penyamaan apabila menurunkan dua tonggak utama, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Safawi Rasid pada babak kedua, namun tidak membuahkan hasil dengan lawan turut mengancam dengan menerusi beberapa percubaan berbahaya ke kubu negara.

Bahrain akhirnya menambah gol ketiga apabila Mohamed Harden meledak jaringan pada minit ke-89 sebelum Malaysia merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti Safawi pada masa tambahan.

Biarpun tewas, Malaysia tetap mara ke pusingan 16 terbaik menentang Jepun pada Jumaat ini selepas meraih kemenangan ke atas Krygyzstan 3-1 dan Korea Selatan 2-1 untuk muncul selaku juara Kumpulan E.

Datuk Ong Kim Swee nyata kecewa dengan persembahan yang ditampilkan ‘barisan keduanya’ berikutan kekalahan itu.

“Pemain tidak beraksi seperti yang kami mahukan. Pertukaran lapan pemain sukar bagi kami tandingi Bahrain,” kata Kim Swee.

“Ia keputusan yang tidak bagus, saya tidak gembira dengan satu atau dua pemain yang diberi peluang. Mereka tidak memberikan komitmen yang diharapkan.”

Selain itu, barisan kejurulatihan Jepun – lawan yang bakal ditemui pada pusingan berikutnya – turut dilihat bertandang ke Stadium Wibawa Mukti, Cikarang bagi melihat perlawanan berkenaan.

Kim Swee juga sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kecederaan dan kecergasan Akhyar tetapi ia perlu dinilai dulu menjelang aksi menentang Jepun.

Reply