no comments

Lunyai Korea Selatan ‘Dikimchikan’ Malaysia

Korea Selatan, negara yang pernah mengalahkan juara dunia (Jerman) di pentas Piala Dunia baru-baru ini, telah dikimchikan oleh negara Asia Tenggara, iaitu tidak lain dan tidak bukan, Malaysia!

Skuad negara Bawah-23 tahun ini mencipta kejutan terbesar dalam saingan Sukan Asia 2018 apabila berjaya menundukkan juara bertahan Korea Selatan 2-1 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung sebentar tadi.

Pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee menyentakkan Korea Selatan seawal minit ke-5 menerusi jaringan pemain serangan, Muhammad Safawi Rasid hasil hantaran jauh penjaga gol negara, Haziq Nadzli.

Bola yang ditangkap penjaga gol, Song Bumkeun terlepas dari dakapan ketika mendarat dan Safawi menggunakan peluang tersebut bagi membuka tirai jaringan.

Tersentak dengan jaringan awal tersebut, Korea Selatan memperkemaskan aksi dengan mendominasikan hampir keseluruhan perlawanan di babak pertama.

Bagaimanapun, Korea tidak tergugat apabila ketinggalan dalam permainan dan meneruskan permainan dengan strategi dan taktikal yang sama untuk mencari gol penyamaan. Serangan demi serangan dilancarkan korea, namun selamba dipatahkan pertahanan negara.

Haziq pada minit ke-34 bertindak cemerlang untuk menafikan percubaan Hwang Hee-chan dalam situasi satu lawan satu dan lima minit kemudian, Kim Jung-min melepaskan peluang apabila rembatannya sekadar tersasar.

Ketika pengadil hampir meniupkan wisel sebagai tanda tamat separuh masa pertama, Malaysia berjaya menambah jaringan, Safawi sekali lagi berjaya mengawal bola sebelum menewaskan penjaga gol Korea, Song Bum-keun, buat kali kedua.

Terdesak dengan ketinggalan dua jaringan, Korea terpaksa menurunkan bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, dalam separuh masa kedua.

Korea menambah tekanan ke arah pintu gol Malaysia dan memaksa mereka untuk bertahan pada baki permainan.

Baddrol Bakhtiar dan Syahmi Safari bekerja keras membantu barisan pertahanan untuk mengawal gerakan Korea sehingga minit ke-88.

Terdesak memburu jaringan selepas kesuntukkan masa, Korea mula mempamerkan aksi garang mereka, dan akhirnya gawang yang dikawal oleh Haziq bocor jua selepas Hwang Ui Jo berjaya memintas barisan pertahan untuk menyumbat jaringan pertama buat Korea.

Namun begitu, Malaysia terus menampilkan permainan bertahan hingga tamat permainan bagi memastikan kemenangan kedua dalam Sukan Asia berjaya diraih.

Kemenangan ini berjaya melayakkan skuad negara ke pusingan 16 terbaik selaku pendahulu Kumpulan E dengan berbaki satu perlawanan. Bahrain dan Kyrgyzstan meraih satu mata selepas mereka seri 2-2 dalam aksi yang berlangsung pada sebelah petang.

Biarpun Korea Selatan yang memasukkan bintang dunia, Son Heung-min, namun masih gagal menidakkan kemenangan berharga Malaysia ini.

Kemenangan bersejarah Malaysia ke atas Korea Selatan ini sudah pastinya menggegarkan seluruh bumi Malaysia dengan teriakan penyokong negara.

Kali terakhir skuad negara menewaskan lawan itu pada temasya Tehran 1974 di mana skuad dibarisi legenda bola sepak negara, Datuk Mokhtar Dahari menang 3-2 pada pusingan kedua sebelum menamatkan aksi dengan meraih pingat gangsa.

Reply