‘Lokasi Pencarian Selama Ini Salah’, Pakar AS Berjaya Temui Lokasi Sebenar Pesawat MH370
Setelah lebih enam tahun kehilangan pesawat penerbangan Malaysia MH370 bersama 239 orang penumpang, sekumpulan pakar penerbangan memberi sinar baru apabila mereka mendakwa telah menemui lokasi sebenar keberadaan pesawat malang itu.
DailyMail melaporkan jurutera, Victor Ianello bersama pasukannya yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) pada awal minggu lalu percaya pesawat Boeing 777 itu terjunam ke dalam Lautan Hindi berhampiran koordinat S34.2342 dan E93.7875 yang terletak kira-kira 2,070 kilometer di luar pantai Perth di Australia Barat.
Menurutnya, terdapat kemungkinan besar bangkai pesawat terbabit berada dalam lingkungan 185.2 kilometer daripada koordinat tersebut.
Ianello yang turut membantu pegawai Australia melakukan operasi carian MH370 juga percaya pesawat terbabit terbang sejauh 4,340 kilometer melepasi Indonesia sebelum nahas itu berlaku.
Sementara itu, seorang lagi pakar penerbangan, Byron Bailey mendakwa operasi carian dilakukan di lokasi yang salah dan mereka sepatutnya memfokuskan kawasan selatan Lautan Hindi.
Jelasnya, kawasan carian dilakukan pada lingkungan 30 kilometer dari lokasi sebenar bangkai pesawat tersebut dipercayai berada.
“Jika jangkaan saya salah, pesawat itu mungkin dirampas oleh makhluk asing atau ditempatkan di hangar di suatu tempat di Kazakhstan. Saya sanggup pertaruhkan segalanya sebagai jaminan untuk maklumat itu kerana saya tahu di mana ia berada,” katanya.
Usaha carian besar-besaran selama empat tahun disertai pasukan antarabangsa meliputi kawasan seluas lebih 120,000 meter persegi dan menelan kos AS$200 juta (RM831 juta) masih gagal untuk menemui bangkai pesawat tersebut atau merungkai misteri di sebalik kehilangannya.
Sejak insiden itu, terdapat pelbagai spekulasi dan teori konspirasi tidak masuk akal termasuk MH370 didakwa digunakan pengg@nas untuk serangan bonvh diri menyasarkan kapal milik China dan dirampas Rusia dan mendarat secara rahsia di Kazakhstan.