Kalah Tipis, Jepun ‘Sushi’kan Malaysia Dengan ‘Wasabi’ Pemberian Pengadil
Harapan Malaysia masih ada ketika mengikat gergasi asia (jepun) sehingga ke saat-saat terakhir perlawanan, namun segalanya hancur musnah apabila disushi’kan (dikalahkan) dengan sedikit ‘wasabi’ (penalti) yang diberikan oleh pengadil.
Penalti penghujung perlawanan itu merebahkan langkah Malaysia ke suku akhir Sukan Asia 2018 apabila tumbang 0-1 kepada Jepun di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi, Indonesia, sebentar tadi.
Pertahanan negara, Dominic Tan menjatuhkan Ayase Ueda dalam kotak penalti pada minit ke-89 dan pemain berkenaan menyempurnakannya dengan menewaskan Haziq Nadzli.
Ia sekaligus menamatkan perjalanan skuad negara yang cemerlang menumbangkan juara bertahan, Korea Selatan dan Krygyzstan dalam aksi kumpulan.
Mengulas lanjut aksi perlawanan, ancaman Yuto Iwasaki ketika perlawanan baru berusia lapan minit, Jepun dilihat gagal menembusi benteng skuad negara yang diterajui oleh Adam Nor Azlin.
Skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee tampak lebih cenderung untuk bertahan dalam usaha mengekang serangan lawan yang banyak berpunca daripada Reo Hatate dan Daizen Maeda.
Safawi berpeluang untuk mengejutkan Jepun 11 minit selepas rehat apabila serangan balas yang menyaksikan Akhyar melorongkan bola buat Safawi disudahkan dengan rembatan kiri yang sipi di pintu gol dan Akhyar juga sekadar melihat percubaan kaki kanannya tersasar, seminit kemudian.
Malaysia semestinya berada di depan pada minit ke-59 seandainya hantaran lintang Safawi dari sebelah kiri dapat dikuis oleh mana-mana rakan sepasukan tatkala serangan balas Jepun gagal disudahkan oleh barisan depan.
Kesilapan Adam yang lambat mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hampir-hampir menghukum Malaysia pada minit ke-65 dalam satu gerakan yang berpunca dari Naganuma Yoichi.
Setelah tandukan Syafiq melewati palang pada minit ke-75, Safawi meraih dua peluang keemasan untuk memberikan Malaysia kelebihan tetapi sepakan percuma dan rembatan bebas kaki kirinya hanya singgah ke palang serta tiang gol tatkala Ryosuke Kojima telah tertewas.
Tatkala aksi di Patriot Chandrabhaga itu dilihat bakal diheret ke masa tambahan, Jepun dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-89 selepas Dominic Tan menolak jatuh Ueda dan pemain yang menggantikan Maeda itu mudah menewaskan Haziq Nadzli untuk memastikan Malaysia kempunan dalam usaha meneruskan prestasi cemerlang.
“Pada saat akhir, kami hilang fokus dan Malaysia sedia maklum bahawa Jepun memiliki barisan depan yang cukup baik. Ia menyukarkan kami tetapi selepas beraksi dengan baik ketika bertahan, sepakan penalti memisahkan kedua-dua pasukan.
“Bagaimanapun, pemain-pemain telah memberikan aksi terbaik tetapi kehilangan sedikit konsentrasi,” kata Jurulatih, Ong Kim Swee selepas tamat perlawanan.
Keputusan aksi kalah mati itu membuatkan Malaysia gagal iringi Vietnam bersama-sama sebagai wakil Asia Tenggara melangkah ke peringkat suku akhir Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.