no comments

“Jumpa Trump Bukan Nak Mintak Duit, Tapi Nak Bagi Duit Pada US” – Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pertemuannya dengan Donald Trump bukanlah untuk meminta wang sebaliknya menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara penting kepada Amerika Syarikat (AS).

Najib berkata, kunjungannya ke AS adalah untuk dijadikan rakan memerangi keganasan, lapor Utusan Malaysia.

“Kita datang bukan untuk meminta wang tetapi datang sebagai sebuah negara yang sedang berkembang pesat dan bakal berada dalam kalangan 20 negara maju pada masa akan datang.

“Kita datang untuk beritahu bahawa kita boleh dijadikan rakan untuk memerangi keganasan dengan kita mengamalkan Islam sebenar.”

“Malaysia negara kecil berbanding AS yang berkeluasan 30 kali lebih besar tetapi kita menjadi negara rakan dagang ke-18 AS dari segi eksport selain pelabur yang signifikan di AS,” kata Najib.

Fokus pertemuan di White House ini adalah untuk membincangkan hal dagangan dan senjata.

Pada bulan Mac lalu, Trump menyenaraikan beberapa negara, termasuk Malaysia yang dinamakannya sebagai “trade cheats” hingga bertanggungjawab terhadap defisit perdagangan AS$50 bilion bagi US.

“Perdagangan akan menjadi tumpuan perbincangan,” kata Straits Times Singapura dalam satu laporan yang diterbitkan hari ini.

Akhbar itu bercakap kepada timbalan pengarah dan penasihat kanan, Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang berpangkalan di Amerika, Murray Hiebert, yang berkata “Najib cuba menyakinkan Trump bahawa Malaysia sedang mencari cara mengurangkan defisit dan membeli lebih banyak lagi produk Amerika.”

“Satu cara cepat ialah membeli lebih banyak senjata Amerika,” kata laporan itu. Ini secara tidak langsung akan memberi duit kepada US.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pembangkang Sim Tze Tzin sebelum ini memberi amaran kepada Najib bahawa Amerika mungkin menjual senjata yang Malaysia tidak diperlukan dan tidak mampu beli.

“Ancaman keselamatan kita adalah kumpulan pengganas serantau yang tidak memiliki senjata canggih. Memandangkan kelembapan ekonomi dan hutang negara yang tinggi, tidak ada keperluan untuk membeli senjata canggih besar-besaran dari AS,” kata Sim.

Defisit perdagangan Amerika dengan Malaysia berjumlah AS$6 bilion (RM25.17 bilion), menurut perangkaan daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Walau bagaimanapun, statistik rasmi Amerika meletakkan defisit bagi tahun 2016 kira-kira empat kali lebih tinggi, iaitu pada AS$24.8 bilion (RM104.02 bilion).

 

Malaysiakini

Reply