no comments

JDT Punca Kejatuhan Harimau Malaya! Ini Antara Sebab-Sebabnya…..

Pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya jatuh ke tangga 170 dalam ranking terbaru yang dikeluarkan FIFA.

Bekas pertahanan skuad Olimpik Moscow 1980, Datuk Jamal Nasir Ismail mendakwa antara punca kemerosotan prestasi dan ranking skuad kebangsaan disebabkan penghijrahan pemain bintang tempatan ke Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurutnya, trend kemerosotan itu dapat dilihat sebaik tonggak kebangsaan yang begitu menyerlah sebelum menyertai JDT seakan kehilangan sentuhan apabila mereka kembali beraksi bersama Harimau Malaya.

Katanya, tindakan JDT ‘menyapu bersih’ semua pemain hebat tempatan yang kemudiannya sekadar memanaskan bangku simpanan, cukup merugikan terutamanya buat skuad kebangsaan.

“Kita faham komitmen JDT yang beraksi dalam pelbagai kejohanan tempatan serta Piala AFC di mana mereka memerlukan ramai pemain untuk digunakan.

“Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita lihat mereka tetap menurunkan pemain sama dan import sama dalam setiap aksi.

“Mana perginya pemain bintang tempatan yang suatu ketika cukup menyerlah bersama pasukan lama. Tapi sebaik ke sana (JDT), mereka jarang bermain dan akhirnya sentuhan juga turut hilang.

“Jadi persoalan saya, mampukah mereka ini menyumbang kepada pasukan jika di kelab pun mereka jarang bermain. Mungkin ramai tak sedar perkara ini. Memang JDT hebat, tetapi adakah kehebatannya membantu pasukan Malaysia?,” soalnya hari ini.

Menurut Jamal, berbanding pemain dahulu, pemain sekarang sudah tidak ada semangat juang tinggi untuk bermain demi maruah negara, sebaliknya terperangkap dengan istilah bola sepak moden yang meletakkan duit sebagai keutamaan.

“Patutnya kelab berperanan untuk membantu negara memiliki sebuah pasukan kebangsaan yang kuat. Bagaimanapun, situasi itu berlawanan di sini apabila kelab dan pasukan lebih mengutamakan kepentingan diri.

Pemain sekarang tak kisah kalau ‘diperap’ lama-lama pun asalkan gaji tinggi. Bila lama tak main, kesannya pula terpalit kepada pasukan kebangsaan,” katanya yang mendesak supaya lebih ramai pemain muda diberi peluang untuk mewakili Harimau Malaya.

Kedudukan ranking ke-170 dunia Harimau Malaya itu dengan hanya mengumpul 110 mata adalah yang terburuk sejak Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Mac lalu dan menghampiri kedudukan terburuk skuad kebangsaan di ranking ke-174 yang diperoleh pada April dan Mei 2016.

HMetro Online

Reply