no comments

Tuduh JDT Penyebab Kejatuhan Harimau Malaya, KJ Hentam Jamal Kaw-kaw!

Susulan tuduhan bekas pemain bola sepak negara berhubung kejatuhan skuad Harimau Malaya, Khairy Jamaluddin menegaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan punca utama di sebalik kemerosotan prestasi dan ranking pasukan kebangsaan dipersada antarabangsa.

Malah, Menteri Belia dan Sukan itu menyifatkan pandangan segelintir bekas pemain kebangsaan yang menyalahkan JDT, kurang tepat dan tidak masuk akal.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bekas pemain kebangsaan berkenaan mengeluarkan kenyataan demikian kerana iri hati dengan kejayaan JDT dan mempunyai niat lain termasuk menyindir Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim .

“Pandangan itu memang tidak masuk akal. Adakah kalau pasukan Sepanyol kalah kita nak salahkan Barcelona atau Real Madrid? Sepatutnya kita terus memberikan galakkan kepada pasukan negeri dan kelab lain untuk mencontohi dan menjadi seperti JDT.

“Memang adakalanya pemain kebangsaan terpaksa berada di bangku simpanan tetapi mereka terdedah kepada kejohanan yang tidak disertai pasukan lain seperti Piala AFC dan sebagainya.

“Jadi, bagi saya dakwaan itu datangnya daripada mereka yang iri hati dan mungkin ada agenda tersirat ingin menyindir kepemimpinan FAM.

“Seperti mana saya nyatakan sebelum ini, kita kena terus bagi sokongan kepada FAM. Masalahnya peminat bola sepak kita sekarang mahu melihat kejayaan datang terlalu cepat. Bila kita mengharap kejayaan datang terlalu cepat maka itu akan menjadi masalah utama kepada bola sepak negara,” katanya.

Semalam, bekas pertahanan skuad Olimpik Moscow 1980, Datuk Jamal Nasir Ismail mendakwa antara punca kemerosotan prestasi dan ranking skuad kebangsaan disebabkan penghijrahan pemain bintang tempatan ke skuad Harimau Selatan itu.

Menurutnya, kemerosotan itu dapat dilihat sebaik tonggak kebangsaan yang begitu menyerlah sebelum menyertai JDT seakan kehilangan sentuhan apabila mereka kembali beraksi bersama Harimau Malaya.

Katanya, tindakan JDT ‘menyapu bersih’ semua pemain hebat tempatan yang kemudiannya sekadar memanaskan bangku simpanan, cukup merugikan terutamanya buat skuad kebangsaan.

Justeru, Khairy menggesa semua pihak terutama bekas pemain kebangsaan supaya berhenti mengkritik JDT dan pengurusan FAM berhubung prestasi buruk skuad Harimau Malaya dan kemerosotan ranking dunia.

“Saya berharap suara-suara bekas pemain kebangsaan berhenti daripada terus lantang mengkritik Tunku Ismail dan FAM biarpun kita hargai pandangan mereka sebagai orang lama.

“Pada saya, mereka sepatutnya berehat di ‘muzium’, berilah generasi baharu mengendalikan bola sepak negara,” katanya.

Khairy turut menyatakan dia mahu TMJ terus kekal menerajui FAM, kerana hanya TMJ sahaja boleh selesaikan masalah hutang dan kekurangan dana yang dihadapi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini.

Dalam pada itu, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) turut membidas kenyataan Datuk Jamal hari ini.

BHarian Online

Reply