no comments

Jamal Tipu Nak Datang Balai, Rupanya Ada Di Ladang Sawit

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos kelentong apabila tidak munculkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk memberi keterangan seperti mana yang dijanjikan pada pukul 2 petang, Rabu.

Jamal sebelum ini telah memberi jaminan akan hadir ke balai untuk memberi keterangan berhubung kemelut yang dihadapinya ketika ini.

Namun, hanya kelibat peguamnya Datuk Mohd Imran Tamrin sahaja yang dilihat di IPD Ampang Jaya.

“Sehingga 3.30 petang anak guam saya tidak hadir tanpa sebarang maklumat. Namun saya dan pasukan peguam akan terus bekerjasama dengan polis mengenai situasi ini.

“Jika ada sebarang maklumat saya akan datang kembali ke IPD ini.

“Saya berharap pihak polis memberi pertimbangan yang sejawarnya. Apa yang polis nak ambil selepas ini perlu ikut peraturan dan peraturan yang sedia ada.

“Dan polis ada kuasa menahannya,” ujar Mohd Imran kepada media.

Mohd Imran berkata, beliau berharap anak guamnya itu dapat tampil segera dan menjelaskaan apa yang berlaku.

“Saya dan pasukan peguam akan pastikan hak-hak anak guam dipelihara secara peribadi dan kami akan terus memberi nasihat kepadanya.”

Jamal Berada Di Ladang Sawit, Mohon Perlindungan KDN

Selepas gagal hadir di balai polis hari ini, Jamal Yunos mengirimkan klip video untuk memberi penjelasan.

Dalam klip video berdurasi 7 minit itu, Jamal yang dilihat berada di kawasan kelapa sawit menjelaskan bahawa dia bimbang akan ditangkap pihak berkuasa sebaik sahaja hadir memberi kenyataan.

“Saya bukannya menolak pelaksanaan undang-undang terhadap saya tetapi apabila yang berlaku terhadap saya ini (sehingga) dengan nama saya disenaraihitamkan dan (saya) diletak dalam langkah keselamatan khas oleh PDRM (saya jadi bimbang).

“Dan selepas SPRM menyerbu kediaman saya, pejabat, dan beberapa tempat lain, saya bimbang daripada semalam hinggalah malam tadi rumah saya diserbu oleh polis, (selain) kediaman ibu saya, rakan-rakan saya.

“Ini yang membimbangkan saya untuk hadir hari ini ke IPD Ampang walaupun saya telah berjanji semalam untuk datang,” katanya.

 

Jamal juga memohon perlindungan daripada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kepada beliau sekiranya mahu dirinya segera tampil memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Saya mohon Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan jaminan kepada saya seorang pemimpin politik, pemimpin aktivis supaya tidak dizalimi, tidak dianiaya.

“Saya melihat apa yang berlaku kepada saya hari ini seperti mana Tun Dr Mahathir menzalimi (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan rakan-rakannya ketika dahulu.

“Saya bukannya penjenayah tetapi saya diperlakukan seperti penjenayah dan pengganas sekarang ini,” katanya.

Reply