no comments

Akhirnya Jamal Kecundang Jua.. Ditangkap Polis Indonesia

Setelah sebulan lebih menghilangkan diri dan menjadi buruan pihak berkuasa Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, akhirnya ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) pada jam 6.15 petang tadi.

Penangkapan Jamal diumumkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Muhyiddin berkata, POLRI sudah menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelaras urusan membawa Jamal pulang.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pemerintah Republik Indonesia, khususnya Polis Negara Republik Indonesia atas bantuan mereka,” katanya.

Pada 25 Mei lalu, Jamal menghilangkan diri dari tahanan di Hospital Ampang Puteri sebelum urusan dokumentasi jaminan mahkamah terhadap dirinya selesai.

Mahkamah kemudiannya mengeluarkan waran tangkap ke atasnya dengan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan.

Beliau sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Jamal bagaimanapun mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya di hospital itu dan menyangka proses berkenaan sudah selesai sebelum beredar keluar untuk ke Tabung Haji bagi mengeluarkan wang.

Dalam pemilihan Umno 30 Jun lalu, Jamal adalah salah seorang calon yang bertanding untuk merebut jawatan ketua Pemuda Umno. Jamal meraih dua undi. Untuk rekod Umno mempunyai 191 bahagian di seluruh negara.

Sementara itu peguam Jamal, Imran Tamrin berkata dia belum dihubungi mengenai penahanan berkenaan.

“Saya mengambil maklum laporan berita, laporan di media sosial dan juga kenyataan Muhyiddin berhubung penahanan anak guam saya. Saya menunggu arahan lanjut,” katanya.

Reply

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close