Isu Pakaian Pramugari: “Kalau Mencolok Mata, Jangan Pandang” – Menteri
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PAS, iaitu berhubung etika pemakaian seragam Pramugari.
“Saya tiada komen kerana ia perkara subjektif. Kalau anda semua rasa pakaian pramugari kita mencolok mata, tolong jangan pandang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Jawapan Loke itu mencetuskan kekecohan khususnya di kalangan ahli pembangkang yang menyifatkan isu pemakaian pramugari yang terlalu mencolok mata tidak sesuai dengan imej Malaysia sebagai negara Islam.
Menurut Loke lagi, setiap syarikat penerbangan bebas memilih pakaian korporat masing-masing selagi mampu menjalankan tugas keselamatan dengan baik.
“Kerajaan merasakan pakaian seragam pramugari Malaysia Airlines Berhad (MAB) iaitu berkebaya selari dengan identiti Malaysia yang sering memberi layanan mesra kepada pengguna.
“Namun, kita tidak menghalang sekiranya pramugari beragama Islam memilih untuk memakai pakaian yang menepati syariah Islam selagi mana ia mematuhi kriteria yang ditetapkan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya dalam sesi penggulungan.
Beliau berkata sedemikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan MP PAS, Siti Zailah Yusoff (Rantau Panjang) yang inginkan penyelesaian kepada isu pakaian seragam pramugari Malaysia yang mencolok mata dalam sidang parlimenĀ 25 Julai lalu.
“Ada wanita beragama Islam yang bekerja sebagai pramugari terpaksa membuka tudung demi mencari rezeki”, bahas YB Siti Zailah Yusoff.
Ketika penggulungan hari ini, Datuk Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) bertanya sama ada kerajaan akan menggesa Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk membenarkan pramugari beragama Islam untuk memakai tudung ketika bertugas.
Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) pula mempersoalkan seragam pramugari syarikat penerbangan negara ini yang menurutnya lebih mencolok mata berbanding syarikat penerbangan luar negara.
“Kalau kita lihat pakaian pramugari Malaysia terlalu menjolok mata berbanding pramugari syarikat penerbangan luar negara di barat, di Amerika Syarikat, kita lihat mereka pakai seluar, berbanding (seragam) seksi yang dipakai (pramugari) syarikat penerbangan di Malaysia,” katanya.