no comments

“Hukuman Sebat Di Khalayak Ramai Susah Diterima” – Anwar

Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan menghukum seperti menjatuhkan hukuman sebat dikhalayak ramai tanpa melalui proses dan kefahaman yang betul serta tanpa belas kasihan adalah sesuatu yang tidak diterima rakyat Malaysia.

Namun Anwar berkata, perkara tersebut perlu ditangani dengan berhati-hati kerana akan timbul tuduhan bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman sebat terhadap pesalah syariah sebagai anti-Islam.

“Jika anda cuai dalam memberi kenyataan dalam perkara ini, anda akan dilabel sebagai anti undang-undang syariah, anda dilabel sebagai sekular dan sebagainya.

“Jika perkara ini berlaku akan timbul pergeseran lain dalam kalangan masyarakat Islam,” katanya dalam satu sidang media di Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Filipina 2018 di Makati City hari ini.

Anwar berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan menjatuhkan hukuman sebat itu kerana ia merupakan satu bentuk penindasan.

“Jika timbul isu berkaitan kesalahan sedemikian perlu ada satu bentuk penjelasan yang mencukupi, pendedahan atau pendidikan kepada masyarakat,” katanya.

Semalam, dua wanita masing berusia 32 dan 22 tahun dijatuhkan hukuman sebat enam kali selepas didapati bersalah cuba melakukan hubungan seks sesama jenis di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, pada jam 1.50 tengah hari, 8 April lalu.

Selain itu kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) Enakmen yang sama kerana musahaqah.

Kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hak untuk mempengaruhi atau mencatur sebarang perubahan terhadap perundangan syariah di Terengganu kerana ia termaktub kepada bidang kuasa kerajaan negeri.

“Apa yang terjadi di Terengganu, menerusi pentadbiran diterajui parti Islam (PAS) sebenarnya termaktub kepada perundangan kerajaan negeri, justeru (Kerajaan Persekutuan) tiada hak untuk campur tangan atau membuat sebarang perubahan.

“Hal ini kerana undang-undang Islam termaktub dalam bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Anwar turut berkata, kedua-dua tertuduh sepatutnya diberikan penjelasan, pendedahan dan pendidikan secukupnya berhubung Islam, berbanding hukuman sebat di khalayak ramai, melainkan mereka melakukan perbuatan seksual di tempat awam sehingga berupaya mengundang kesan negatif.

“Bagaimanapun, ia berbalik semula kepada persoalan bagaimana undang-undang agama ditafsirkan secara sempit, di mana bertentangan dengan pendapat saya sebagai seorang Muslim yang bersifat praktik,” katanya.

Reply

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close