no comments

Media Hong Kong Lapor Jho Low Sudah Ditangkap

Individu yang paling dikehendaki Malaysia, iaitu Low Taek Jho atau Jho Low dilaporkan telah ditahan oleh pihak berkuasa China.

Sebuah stesen radio di Hong Kong menyiarkan berita penahanan Jho Low di China semalam.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata, PDRM masih belum menerima maklumat berhubung penahanan itu.

“Saya tidak ada maklumat perkara itu, saya akan semak kemudian,” katanya kepada pemberita.

Pasport Jho Low telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu, Mohamad Fuzi menafikan dakwaan bahawa PDRM tidak menghantar notis merah kepada polis antarabangsa, Interpol untuk mengesan ahli perniagaan kontroversi itu.

“Saya ingin menegaskan polis telah menghantar permohonan berkenaan pada 11 Jun lepas kepada Interpol di beberapa negara termasuk China, Hong Kong, Indonesia, dan Myanmar selain meminta kerjasama Taiwan melalui saluran diplomatik bagi mengesan Jho Low,” katanya.

Ketika ditanya tentang lokasi terbaru Jho Low, Mohamad Fuzi berkata, berdasarkan risikan pihaknya, Jho Low hanya berlegar di Hong Kong, China, Macau dan Taiwan. Sekiranya lokasi terbaru Jho Low telah dikenal pasti, PDRM akan tumpukan di negara tersebut.

“Kita akan dapatkan bantuan negara itu untuk bantuan. Usaha menjejak Jho Low adalah berterusan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Jho Low telah membuat pembedahan wajah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa seperti yang dilapor media asing, beliau enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata; beliau tidak tahu tetapi menyambut baik berita penahanan ahli perniagaan berkenaan.

“Saya tak tahu, terima kasih kerana beri maklumat kepada saya. Tapi saya harap Jho Low ditangkap,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya sama ada Malaysia dan China mempunyai perjanjian ekstradisi, Tun Dr Mahathir menjawab, “Tidak, tetapi mereka boleh berikannya kembali kepada kita.

Reply