no comments

Lim Guan Eng Mengaku DAP Ada Hubungan Dengan IRI

Democratic Action Party (DAP), sememangnya mempunyai hubungan dengan Institut Republikan Antarabangsa (IRI).

Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang hari ini mengakui bahawa parti itu ada hubungan bersama IRI bukan seperti yang dinafikannya semalam.

Jelasnya, hubungan itu hanyalah berbentuk kursus latihan dan bertukar pandangan serta idea, sama seperti yang dilakukan oleh BN-Umno bersama IRI.

Kenyataan Guan Eng itu sebagai memperbaiki kenyataannya pada sidang media di Parlimen semalam yang mengatakan beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan kerjasama dengan IRI untuk menjatuhkan BN dalam PRU14 lalu.

Katanya, beliau tidak dengar dengan jelas apa yang disoalkan oleh wartawan. Disebabkan itu katanya, beliau menjawab berkenaan Parti Republikan dan bukannya IRI seperti yang disoalkan oleh wartawan.

“Bagaimanapun saya tidak mendengar soalan wartawan dengan jelas dan beranggapan bahawa IRI yang dimaksudkan adalah Parti Republikan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Menjelaskan kembali hubungan dengan IRI, beliau memaklumkan bahawa ada sebahagian pemimpin DAP menjalani kursus bersama IRI berkenaan isu-isu teknikal di bawah naungan pemahaman proses demokrasi yang berkaitan dengan pengundian dan komunikasi.

“Hubungan dengan ahli pemikir adalah berlainan dengan hubungan langsung dengan CIA atau parti politik seperti Parti Komunis China.

“Tidak seperti sesetengah ekstremis, tidak ada yang salah bagi Umno untuk mengadakan hubungan dengan Parti Komunis China setakat mana pemimpin Umno dijemput untuk mesyuarat parti China Parti Komunis China,” katanya.

Katanya, komunikasi terbuka harus sentiasa digalakkan untuk mempromosikan pemahaman berdasarkan prinsip yang jelas.

“Bagaimanapun, hubungan langsung dengan CIA dengan jelas mencari bantuan untuk intervensi asing untuk mensabotaj mandat rakyat dalam pilihan raya umum baru-baru ini, bukan sahaja tidak dapat dipertahankan dan tidak dapat diterima, tetapi pengkhianatan kedaulatan negara kita,” katanya.

Institut Republikan Antarabangsa (IRI) yang berpangkalan di Washington itu turut mengaku bekerjasama dengan parti-parti politik Malaysia merentasi spektrum siasah yang melibatkan BN dan Pakatan Harapan.

“IRI adalah organisasi bukan partisan yang bekerjasama dengan rakan-rakan di Malaysia sejak tahun 2002 untuk mengukuhkan keupayaan parti politik bersaing dalam pilihan raya dan mematuhi amalan tadbir berorientasikan rakyat.

“IRI membekalkan sokongan bukan partisan kepada parti-parti yang meliputi seluruh spektrum politik dalam bentuk bengkel latihan dan rundingan dengan gabungan parti-parti HARAPAN dan BN.

“IRI tidak memberi bantuan kewangan kepada parti-parti politik di Malaysia,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Menurut kumpulan itu, kerjanya termasuk inisiatif yang direka untuk meningkatkan penyertaan belia dalam bidang politik dan mengukuhkan keupayaan organisasi masyarakat sivil Malaysia.

“Melalui kerja ini, IRI membantu rakyat Malaysia memastikan wakil rakyat yang terpilih itu bertanggungjawab dan mereka boleh menyampaikan sebarang kebimbangan terhadap kerajaan,” kata kumpulan itu.

Presiden IRI, Daniel Twining dalam satu forum di Washington pada 11 Julai berkata pertubuhannya telah berusaha untuk “mengukuhkan” parti pembangkang di Malaysia, tetapi tidak memberikan butiran.

Twining juga mendakwa beliau telah melawat Malaysia selepas pertukaran kerajaan dan meluangkan masa dalam “pejabat perdana menteri”.

Twining bagaimanapun berkata IRI tidak menyumbang dalam perubahan di Malaysia tetapi sebaliknya perubahaan itu adalah reaksi kepada korupsi, nepotisme dan kronisme.

IRI diasaskan sebagai salah satu daripada empat pertubuhan prodemokrasi yang didanai National Endowment for Democracy (NED). NED pula didanai Kongres AS.

Beberapa tahun mutakhir, IRI dituduh melatih pembangkang dan pemimpin rampasan kuasa antaranya di Honduras, Haiti, Cuba, Mesir dan Tunisia.

Reply