no comments

“Gagal Tunaikan Janji, Kerajaan Tak Perlu Minta Maaf Pada Rakyat” -Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu memohon maaf kepada rakyat walaupun gagal menunaikan 10 janji dalam tempoh 100 hari yang menjadi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Katanya, kerajaan akan berusaha memastikan segala janji terlaksana. Ada antaranya sudah ditunaikan seperti meluluskan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Dewan Rakyat.

“Tidaklah (PH tak perlu mohon maaf pada rakyat). Memang ia tidak seperti yang kita harapkan, namun kita sudah cuba sedaya upaya.

Wan Azizah bagaimanapun berpuas hati apabila salah satu janji, Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri), yang merupakan fasa pertama program caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah sudah pun dimulakan.

“Sekurang-kurangnya di kementerian, saya sudah buat i-Suri dan berjaya mempromosi serta menjalankan program itu.

“Bukan mudah melaksanakan semua kerana kita tidak ada cukup maklumat (ketika menjadi pembangkang) untuk menyelesaikan masalah.

“Saya bukan memberi alasan mengapa kami tidak mencapai sasaran tapi kami cuba dengan sedaya-upaya,” katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya mengenai pencapaian kerajaan PH mentadbir negara setakat ini, selain sama ada mereka perlu meminta maaf kerana gagal menunaikan 10 janji dalam tempoh terbabit.

 

Antara 10 janji manifesto PH dalam tempoh 100 hari memerintah adalah menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup rakyat, menstabilkan harga petrol, menghapuskan hutang peneroka FELDA dan memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

Turut disenaraikan, menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara dan meningkatkannya, selain menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pada Sabtu ini (18 Ogos) pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan akan mencecah 100 hari.

Sementara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk menunaikan janji dalam manifesto pilihan rayanya.

Kerajaan PH sedang diperhatikan dengan rapi berhubung ikrarnya untuk menunaikan janji manifestonya dalam tempoh 100 hari pentadbirannya tatkala tarikh akhir tempoh itu semakin menghampiri.

Bagaimanapun, Tun M yakin bahawa kebanyakan yang disenaraikan dalam dokumen itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun.

“Manifesto itu didraf berdasarkan apa yang diketahui PH pada waktu itu. Tetapi apabila kami mengambil alih kerajaan, kami dapati situasinya lebih teruk, lebih banyak wang telah dipinjam,” katanya.

Reply