“Donald Trump, Tolong Jangan Jumpa ‘Pemimpin Tercemar’.” – WSJ
Akhbar media US, Wall Street Journal sekali lagi menimbulkan keberangan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak dan penyokong BN yang sebelum ini menerbitkan laporan mengenai 1MDB. Ia berikutan selepas Najib akan ke White House dan membuat perjumpaan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dalam rencana pengarangnya, WSJ mengingatkan pentadbiran Trump berhadapan risiko jika berjumpa dengan Najib.
Akhbar itu mendakwa Trump akan menyebabkan dirinya “dihina” dengan cara yang sama seperti Presiden Barack Obama, sebelum ini.
WSJ mendakwa bahawa “penghinaan” itu adalah dalam bentuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dihumban ke dalam penjara hanya dua bulan selepas Obama bermain golf dengan Najib di Hawaii dan lawatan bersejarah presiden Amerika itu ke Malaysia pada April 2014.
Anwar berulang-kali mendakwa bahawa tuduhan meliwat terhadapnya direka oleh saingan politiknya tetapi pihak berkuasa menafikannya.
WSJ berkata walaupun Najib boleh meningkatkan popularitinya dengan berjumpa dengan Trump, White House, bagaimanapun, tidak akan mendapat sebarang manfaat daripada mesyuarat itu, yang dijadualkan pada 12 Sept.
“Tidak jelas bahawa Trump dan Setiausaha Negara Rex Tillerson (yang melawat Malaysia bulan lalu) mendapat sebarang manfaat dengan menyekutukan diri mereka bersama seorang pemimpin yang sedang disiasat sendiri oleh Jabatan Keadilan (DOJ),” katanya.
Rencana pengarang itu juga mencadangkan beberapa alasan yang boleh digunakan untuk membatalkan perjumpaan berkenaan sekiranya Trump diberitahu bahawa sudah terlambat untuk membatalkanya.
“Amerika Syarikat boleh memberi alasan diplomatik menggunakan Taufan Harvey dan Irma ataupun sengketa kongres. Sebarang tindakan memalukan adalah lebih baik daripada memberi peluang kepada pemimpin yang tercemar bergambar di White House,” kata WSJ.
–Malaysiakini