DAP Kata Pertahankan Raja, Tapi Adunnya Pula Kena Tahan Polis Sebab Hasut/Hina Agong
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu ditahan polis hari ini berhubung kenyataannya di facebook yang berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata, Liu ditahan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, pagi Rabu.
“Penahanan itu adalah untuk membolehkan kami menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kami akan merakam kenyataannya dan membebaskannya setelah semuanya selesai. Ia bergantung kepada kenyataan yang diberikan,” katanya.
Liu terdahulu tiba di IPD Petaling Jaya sekitar pukul 10.40 pagi.
Wakil rakyat itu adalah antara empat individu yang disiasat atas dakwaan menghina Agong,
Dipercayai penahanan tersebut adalah berkaitan dengan satu posting Liu pada 21 Oktober yang antaranya bertulis ‘Now in Bangkok, they are saying no to the King (Sekarang di Bangkok, mereka mengatakan tidak kepada Raja).
DAP semalam berkata, partinya mengulangi pendirian akan mempertahankan institusi diraja, hak istimewa Melayu dan Islam sebagai agama rasmi sambil menggesa menolak sebarang usaha mengambil kuasa melalui perintah darurat.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata parti itu sentiasa dilemparkan fitnah menentang sistem Raja Berperlembagaan dan ingin menghapuskan institusi diraja.
“Ini adalah tohmahan yang langsung tidak berasas. Dasar perjuangan DAP jelas mendukung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
“Dasar ini telah pun termaktub dalam satu dokumen penting DAP iaitu Deklarasi Shah Alam 2012,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah RiƔyatuddin Al-Mustafa Billah semalam yang menyatakan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.
“Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.
“Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Loke juga berkata bahawa partinya menyambut baik keputusan Yang Di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan pengisytiharan.
“Dalam tempoh 72 jam yang lalu, rakyat Malaysia melihat sendiri bagaimana sistem raja berperlembagaan berfungsi dalam negara kita.
“Kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong telah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membatasi keputusan dan tindakan pihak ekskutif.
“Keputusan Yang Di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan pengisytiharan darurat disambut baik oleh rakyat Malaysia,” katanya.