Bukan Sebab Hutang Jer! Punca Sebenar Apek & Piya Ditendang KAFA Rupanya-Rupanya Sebab….
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan semalam mengesahkan bahawa pemain senior mereka iaitu Khairul Fahmi Che Mat (Apek) dan Mohd Badhri Mohd Radzi (Piya) terpaksa dilepaskan lebih awal pada musim ini.
Tindakan itu dibuat bagi membolehkan mereka mendapat peluang beraksi bersama pasukan lain, selain membantu mengurangkan beban kewangan The Red Warriors.
Namun, ketua jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim tampil menjelaskan punca sebenar dia ‘melepaskan’ dua ayam tambatan pasukan itu, Mohd Badhri Mohd Radzi dan Khairul Fahmi Che Mat daripada skuad utamanya.
Pengendali dari Syria itu berkata, Khairul Fahmi atau dikenali dengan panggilan Apek dan Mohd Badhri (Piya) tidak dapat mengikut corak permainan yang diterapkannya.
“Secara umumnya, mereka tiada dalam perancangan saya. Mereka tak boleh nak ikut dan bermain seperti yang diperlukan dalam bola sepak terutamanya Piya,” katanya.
Jelas Fajer, beliau menghormati jasa kedua-dua pemain itu tetapi perubahan perlu dilakukan demi masa depan bola sepak Kelantan.
“Saya menghormati sejarah mereka tetapi inilah kehidupan dan bola sepak seperti kehidupan,” katanya.
Menurut jurulatih berusia 53 tahun itu, Kelantan mempunyai ramai pemain muda berbakat dan beliau mahu memberi peluang kepada mereka untuk beraksi dengan lebih kerap.
“Kami mahu membina sebuah pasukan yang hebat pada masa hadapan. Oleh itu, kami sentiasa memberi sokongan kepada pemain muda dan beri mereka banyak peluang untuk beraksi,” katanya.
Malah beliau berkata, keputusan menurunkan lebih ramai pemain muda pada kali ini juga dilakukan kerana ia sebahagian daripada polisi masa depan Kelantan.
“Ini juga polisi masa depan pasukan. Bola sepak pada hari ini jauh berbeza berbanding dahulu. Jika mereka mahu beraksi lebih kerap, mereka perlu cari pasukan baharu,” katanya.
Pada masa sama, Fajer berkata beliau akan memaklumkan mengenai perkara tersebut secara rasmi kepada Apek dan Piya dalam tempoh terdekat.
“Saya akan bertemu mereka dalam minggu ini. Sudah tentu sebelum aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) memandangkan mereka tidak akan diturunkan pada perlawanan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Piya ternyata berkecil hati dengan layanan yang diberikan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
Menurutnya, apabila mendapat tahu mengenai khabar penyingkirannya baru-baru ini, membuatkan dia kabur dengan statusnya.
“Kalau Kafa dan jurulatih tak nak saya, sepatutnya mereka panggil dan bincang. Bukannya memberi kenyataan di laman sosial atau akhbar.
“Saya dan juga Apek (Khairul Fahmi Che Mat) ‘blur’. Cara Kafa dan jurulatih buat ni tak betul. Tak profesional.
“Tetapi kami sebagai pemain profesional kami tetap mengikut kontrak dan turun menjalani latihan seperti biasa. Malah jurulatih pun tidak beritahu apa-apa lagi,” ujarnya.
Piya yang masih mempunyai kontrak sehingga penghujung musim ini masih mencari jawapan punca sebenar mereka dilayan seperti ini.
“Setiap sesi latihan saya dapat ikut dengan baik. Tak tahu, tak tahu apa. Sehingga sekarang saya masih menunggu untuk dipanggil dan diberitahu secara rasmi sama ada saya masih diperlukan atau tidak.
“Kalau tak nak, cakap sahaja tak nak. Saya terima. Tetapi jangan buat macam ini. Awal musim sebelum ini, mereka tak mahu lepaskan kami ketika ada pasukan lain yang buat tawaran.
“Tetapi sekarang timbul pula mahu lepaskan kami untuk mengurangkan beban hutang?. Saya harap akan ada tindakan yang lebih profesional selepas ini,” jelasnya yang kini berusia 36 tahun.
Tambah Piya, sebagai seorang pemain profesional dia menerima apa sahaja keputusan kerana faham asam garam dalam dunia bola sepak.
–Mstar Online