Demi Membantu Ekonomi Amerika Syarikat, Malaysia Sedia Beli Pesawat Bernilai RM42 Billion -Najib
Perdana Menteri Najib Razak berjaya mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump dan anggota kanan pentadbirannya di White House.
Ketibaan Najib di White House disambut Trump, dan kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan yang antara lain menyentuh minat Malaysia untuk membeli 25 buah pesawat Boeing 737.
“Malaysia menerusi Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan membeli lebih banyak pesawat Boeing. Langkah itu adalah bagi membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat.” kata Najib.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sahaja dijangka melabur antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion (AS$1 bersamaan RM4.19) di US.
“Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS,” katanya pada pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan khusus.
Pertama, katanya, Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh MAB.
“Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat.
“Jadi, dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga itu akan bernilai melebihi AS$10 bilion,” katanya.
Pesawat 737 MAX 10 bakal menjadi pesawat satu lorong paling menguntungkan bagi syarikat penerbangan MAS, menawarkan kos tempat duduk paling rendah, manakala 787 Dreamliner adalah pesawat enjin berkembar dengan kerangka sederhana bagi perjalanan jarak jauh.
Najib berkata, kerajaan juga akan cuba memujuk syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd untuk membeli enjin General Electric buatan AS.
“Keduanya, kami memiliki KWSP, dana pencen utama di Malaysia. Mereka memiliki modal yang besar untuk dieksport, mereka melabur hampir AS$7 bilion dari segi ekuiti di AS dan mereka berhasrat untuk melabur tambahan AS$3 bilion hingga AS$4 bilion bagi menyokong pembangunan semula prasarana anda,” katanya.
Khazanah Nasional, yang memiliki pejabat di Silicon Valley, California dan telah melabur kira-kira AS$400 juta dalam syarikat teknologi tinggi, juga berhasrat meningkatkan pelaburannya. -Najib
– BERNAMA