no comments

Sedih! Rupanya Ini Punca Kenapa Zul Ariffin Lama Menghilang, Sampai IG Pun Dia Deactivate

Misteri kehilangan pelakon terkenal, Zul Ariffin selama hampir sebulan akhirnya terjawab selepas beliau kembali aktifkan akaun IG (Instagram).

Memuatnaik foto dirinya sedang termenung berdiri dengan mengenakan ghutra dan berjubah berwarna biru ketika berada di Dubai.

Menjelaskan tentang kehilangannya, Zul menjelaskan; “Jiwanya kosong selepas kematian ibu. Selama ini, arwah adalah sumber kekuatan terhadap perjuangan seni saya, tetapi hari ini, segala-galanya sudah melayang.”

Itulah luahan bintang filem ‘Tombiruo‘ selepas kehilangan ibu tercintanya, Robiah Nasir, 66, akibat serangan jantung pada 5 Disember lalu.

Zul berkata, sehingga hari ini dia masih terbayangkan wajah ibunya yang selama ini menjadi penguat semangat untuk terus berjuang dalam industri seni.

“Sejak arwah tiada, saya langsung tidak boleh lelapkan mata. Pejam saja mata, pasti terbayang wajahnya.

“Di hadapan orang, saya mungkin masih boleh tersenyum dan tenang, sebaliknya jauh di sudut hati, hanya Tuhan saja yang tahu. Jiwa saya memang tidak tentu arah ketika ini,” katanya.

Menurutnya, dia juga meluahkan rasa terkilan apabila tidak sempat berada di sisi arwah ibunya dan menunaikan hajat untuk menunaikan ibadah umrah.

“Barangkali saya sukar tidur lena kerana menyimpan rasa terkilan apabila tidak sempat bersama arwah pada saat dia menghembuskan nafas terakhir. Ketika saya tiba, arwah sudah ‘tutup mata’. Ia sangat memberi kesan pada jiwa saya,” katanya.

Dia berkata, mujur sempat berbual panjang dan keluar bersama arwah beberapa hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Entah mengapa saya tergerak hati untuk memohon maaf dan memberitahu perancangan mengajaknya bercuti ke Dubai, seterusnya menunaikan umrah di Makkah, bulan depan.

“Saya lihat arwah gembira namun tak sangka, itu pertemuan terakhir kami. Hasrat saya mahu membawa ibu ke Dubai dan menunaikan umrah tidak kesampaian.

“Pun begitu, saya terbang juga ke Dubai untuk membawa hati dengan ditemani abang angkat dan keluarganya. Insya-Allah, bulan depan saya menunaikan umrah,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, peminat dikejutkan dengan berita pemergian ibu Zul melalui status dimuat naik kelab peminat aktor itu, Zul Ariffin FC di laman Instagram.

Komen peminat

“Harap awak baik-baik sahaja!! Kami rindukan awak, Zul Ariffin. Tolong jangan hilangkan diri lagi daripada laman sosial lagi dan salam takziah atas pemergian ibu tercinta,” komen noraisyah_bahar.

“Waalaikumsalam… Selamat kembali bos @zul_ariffin dengan semangat baru yang lebih baik. InsyaAllah, selamat bercuti,” kata _rara_y.

“Alhamdullillah… semoga dipermudahkan segala urusanmu. Semoga ibumu ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman,” tulis seri_ifa pula.

Zul Ariffin mempunyai 1.8 juta pengikut di laman Instagram itu.

p/s -Salam takziah & Al-Fatihah buat ibu tercintanya Robiah Nasir. Semoga Arwah tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman.

HMetro, Mstar

Reply