no comments

Innalillah.. Tiada Lagi Lawak Dari ‘Yeh Sekupang’, Rab Khalid Pergi Buat Selamanya….

Pelakon filem komedi, Rab Khalid, atau lebih dikenali sebagai ‘Yeh Sekupang‘ yang sebelum ini dilaporkan kritikal telah menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 4.15 petang sebentar tadi.

Berita kematian pelakon berusia 48 tahun itu dimaklumkan oleh kenalannya sendiri di laman Facebook milik Allahyarham.

 

Arwah meninggal dunia akibat serangan jantung di Unit Penjagaan Koronari (CCU) Hospital Ampang.

Rab atau Khalid Shamsuri dimasukkan ke hospital sejak semalam selepas mengadu sakit dada dan tidak sihat, dan kritikal sebelum meninggal petang ini.

Adiknya, Mohd Abbas Shamsuri, ketika dihubungi berkata, semua ahli keluarga reda dengan kehilangan Arwah.

Katanya, “sejak dirawat di CCU, keadaan abang makin lemah dan kritikal apabila sepenuhnya menggunakan alat bantuan pernafasan.”

“Sebenarnya itu serangan jantung kedua dialami abang saya selepas kali pertama dikesan kira-kira beberapa bulan lalu.”

“Cuma, ada hasrat arwah yang tidak kesampaian iaitu kerjasama kami membuka perniagaan kafe.

“Segala urusan kafe sudah dibuat dan kami merancang membuka operasinya pada 5 Februari ini di Kelana Jaya,” katanya.

Rab sangat dikenali dengan panggilan Yeh Sekupang iaitu watak dilakonkan dalam filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan arahan Mamat Khalid.

Berasal dari Parit Buntar Perak, anak kedua daripada enam beradik itu dikenali dengan lakonan komedi bersahaja menerusi beberapa karya Mamat seperti Hantu Kak Limah, Hussin, Mon & Jin Pakai Toncit, Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya, 16 Puasa dan Werewolf Dari Bangladesh.

 

Allahyarham akan dikebumikan di Parit Buntar, Perak sekitar pagi esok selepas disembahyangkan di masjid kampung itu. Urusan mandi dan kafan jenazah dilakukan di Hospital Ampang sebelum dibawa pulang ke Parit Buntar pada malam ini.

~ AL – FATIHAH

Reply