no comments

Silap Sangka! ‘Ustaz Tahfiz’ Yang Dianggap Meninggal Dalam Tragedi Kebakaran, Rupanya Hidup Lagi!

Tragedi tragis pada tanggal 14 September 2017, iaitu kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur yang meragut 23 nyawa, pasti terpahat di ingatan seluruh warga Malaysia buat selamanya.

Namun, seorang lelaki menerima kejutan ‘berganda’ apabila dirinya dikaitkan sebagai sebahagian daripada mangsa yang terkorban dalam insiden menyayat hati itu.

Gambarnya bersama sebahagian pelajar tahfiz berkenaan tular di media sosial sejak kejadian, termasuk diterbitkan pada dada-dada akhbar.

Mohd Zuhaiman Majid, 42 tahun, berkata, dia mendapat tahu berita tragedi tersebut dikaitkan dirinya selepas diberitahu oleh seorang rakan pada tengah hari kejadian.

Bagaimanapun dia menjelaskan bahawa dia bukanlah guru seperti yang dinyatakan di dalam keterangan gambar sebagai mangsa, sebaliknya pernah menghadiri satu majlis tahlil dan solat hajat yang diadakan di pusat tahfiz itu pada 26 Ogos lepas.

“Ramai yang menghubungi saya, ingatkan saya salah seorang tenaga pengajar, malah ada yang turut menyangka saya menghantar anak saya ke sekolah itu.

“Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak terlibat dalam kebakaran itu. Saya bukan mangsa kebakaran. Harap semua tidak salah faham,” katanya kepada pemberita.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini berkata, dia sememangnya terkejut menerima berita mengenai tragedi tersebut yang tidak pernah disangka-sangka akan berlaku.

Walaupun pertemuan bersama para pelajar di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu singkat, tetapi mereka sempat bersolat berjemaah, membaca Yassin, mengadakan tahlil dan makan bersama-sama.

Rasa sebak menyelubungi diri Mohd Zuhaiman apabila mengimbas semula kenangan itu sambil menyifatkan semua pelajar ceria dan berdisiplin.

“Banyak gambar saya ambil dengan mereka. Saya belek-belek gambar mereka, saya tengok muka mereka setiap seorang walaupun tak tahu yang mana terkorban.

“Saya anggap mereka macam anak sendiri. Saya terfikir macam mana keadaan mereka dalam kebakaran tu. Saya tak dapat bayangkan, saya jadi sebak,” kata bapa kepada tiga anak ini.

Bagaimanapun kata arkitek ini, ajal dan maut adalah ketentuan Tuhan dan mendoakan semua mangsa ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Wajah-wajah mangsa yang terkorban

“Kepada semua keluarga mangsa, saya ucapkan salam takziah. Semoga terima kejadian ini dengan reda dan tabah,” katanya.

Mstar Online

Reply