no comments

Sungguh Menyedihkan ~ Ustaz Kazim Dedah Punca Jual Pusat Tahfiz Al-Barakah

Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias dalam satu temubual hari ini, telah mengesahkan akan menjual Unit Tahfiz Darul Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah miliknya di Manjoi, Perak kerana tidak mampu menampung kos pentadbiran pusat berkenaan yang tinggi.

Pengesahan itu sekaligus merungkai persoalan statusnya di Facebook serta di laman mudah.my mengenai penjualan pusat berkenaan.

Ustaz Kazim ketika ditemui NSTP di pusat berkenaan berkata, beliau terpaksa menjual sebahagian pusat itu membabitkan unit tahfiz di pusat berkenaan yang menempatkan 100 pelajar.

Katanya, keputusan sedih itu terpaksa diambil berikutan tidak mampu lagi untuk menampung kos pentadbiran keseluruhan pusat berkenaan yang kini mencecah RM150,000 sebulan.

“Pusat pendidikan ini terbahagi kepada tiga iaitu Unit Tahfiz, Tadika Nurul Barakah dan Pengajian Pondok Moden dan saya akan menjual hanya Unit Tahfiz seperti yang diiklankan di laman mudah.my dengan harga RM5,000,000.

“Keputusan ini memang amat sedih tetapi terpaksa diambil kerana saya memikirkan nasib guru serta pelajar dan penjualan ini dapat menampung kos pentadbiran dua lagi unit di pusat ini,” katanya yang juga pengasas dan pengetua pusat berkenaan.

Ketika ditanya punca sebenar beliau tidak mampu lagi menampung kos pentadbiran, Ustaz Kazim berkata, kerana tidak lagi mendapat panggilan kuliah serta ceramah.

“Kami tidak pernah minta derma daripada mana-mana pihak, parti politik atau sertai parti politik dan keseluruhan kos dibiayai melalui ceramah, kuliah, penjualan buku-buku diterbitkan dan program-program televisyen.

“Tetapi sejak dua tiga bulan ini saya rasa macam ada satu usaha menyekat ceramah saya, dibatalkan dan dihalang, saya rasa kalau keadaan ini berterusan, saya tidak mampu menampung Al Barakah,” katanya.

Menurut Ustaz Kazim, walaupun akan menjual unit tahfiz berkenaan namun usaha melahirkan huffaz di negara ini akan diteruskannya dengan mewujudkan satu pusat tahfiz dalam skala kecil selepas ini.

“Sebenarnya kita sudah ada tiga lot tanah di Jalan Juara, Manjoi untuk pembinaan dan wang hasil penjualan unit tahfiz berkenaan akan digunakan untuk membuka pusat tahfiz dalam skala kecil itu iaitu dalam 20 pelajar.

“Saya akan mengecilkan skala bagi menjimatkan kos dan keputusan ini diambil untuk kepentingan bersama,” katanya.

 

Berita penjualan pusat Tahfiz itu kemudiannya telah mendapat perhatian kerajaan negeri Perak.

Kerajaan negeri bersedia untuk membantu dan bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan pada bila-bila masa dengan pengurusan Pusat Pendidikan Al-Barakah jika mereka memerlukan bantuan.

Pengerusi Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, setakat ini pihaknya tidak mengetahui masalah kewangan pusat terbabit yang memaksa pengasas dan pengetuanya, Datuk Kazim Elias mahu menjual Unit Tahfiz di sekolah itu.

Katanya, kerajaan negeri tidak menerima sebarang makluman atau laporan daripada sesiapa termasuk dari Kazim sendiri.

“Kalau mahu bantuan tidak ada masalah, boleh jumpa terus dengan saya, saya pun tak tahu masalah mereka sebab mereka pun tak pernah berhubung dengan saya.

“Sesiapa pun boleh jumpa dengan saya, bukan Al-Barakah sahaja. Kita (kerajaan negeri) akan lihat keperluan, kalau kita boleh bantu, kita akan bantu selesaikan,” katanya.

Reply