2 comments

Tun M Menghadap Yang di-Pertuan Agong? Pegawai Cerita Perkara Sebenar

Beberapa hari yang lepas banyak tular berita mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan surat sokongan dari 129 Ahli Parlimen untuk pembentukan semula kerajaan Pakatan Harapan.

PH dikatakan sudah mempunyai majoriti 129 Ahli Parlimen bagi menjatuhkan kerajaan yang wujud pada hari ini iaitu Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, mesej yang tular itu tidak benar sama sekali dan hari ini Pegawai Dr Mahathir menjelaskan perkara sebenar.

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, seperti yang tular di media sosial, beberapa hari lalu.

Pegawai Dr Mahathir memaklumkan, jadual harian Dr Mahathir hari ini juga tiada perjumpaan dengan pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Hari ini tidak ke istana (Istana Negara). Tiada juga pertemuan dengan pemimpin PH,” katanya kepada BH, hari ini.

Beberapa hari lalu, tular di media sosial mesej mengatakan Dr Mahathir dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, semalam atau hari ini untuk mempersembah surat sokongan daripada 129 Ahli Parlimen bagi membolehkan PH membentuk semula kerajaan.

Mesej itu turut menyebut PH dikatakan bakal mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Desas-desas perubahan kerajaan itu turut diperkuatkan lagi dengan hantaran dibuat beberapa pemimpin PH di dalam media sosial dalam tempoh 48 jam lalu mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini berada di hujung tanduk dan menunggu masa berakhir.

Kerajaan PH yang wujud selepas 9 Mei 2018, terbubar selepas 22 bulan mentadbir negara, susulan keputusan Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu.

Krisis politik dan pentadbiran negara ini berakhir apabila kerajaan PN ditubuhkan dan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 yang mengangkat sumpah jawatan pada 1 Mac lalu, selepas mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

PN yang dibentuk pada 23 Februari lalu, menggabungkan 113 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), PAS, BERSATU, bekas PKR, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) serta Bebas.

Jika dilihat, jumlah majoriti yang dimiliki oleh PN agak tipis dengan PH. Bila-bila masa sahaja mungkin akan berlaku perubahan jika ada sebahagian Ahli Parlimen berubah arah untuk menyokong Pakatan Harapan.

Namun, majoriti rakyat Malaysia sekarang sudah selesa dengan kerajaan sedia ada. Kerajaan PN dilihat agak berjaya ketika ini dalam menghadapi krisis ancaman pandemik Covid-19.

Selain itu, kerajaan hari ini juga turut peka terhadap nasib yang dialami rakyat dengan memberikan beberapa jenis bantuan antaranya adalah Bantuan Prihatin Nasional dan lain-lain.

Tetapi, segala kemungkinan boleh sahaja berlaku walaupun kerajaan ini disukai oleh rakyat. Pasti ada pihak yang tidak suka dengan kerajaan yang wujud hari ini dan pakatan untuk menjatuhkannya sudah tentu ada.

Apa-apapun kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mendoakan yang terbaik untuk negara. Semoga Malaysia terus aman dan makmur. Amin….

2 Comments

  1. Pusat Rawatan Nur Syahadah

Reply