no comments

Tugu Kebanggaan Amerika Diilham Dari Imej Wanita Arab

Tugu Kebangaan Amerika Diilham Dari Imej Wanita Arab.jpg

Statue of Liberty, atau Tugu Kebebasan yang menjadi simbol demokrasi Amerika Syarikat, diilhamkan daripada imej seorang wanita Arab, menurut satu kajian terbaru.

Kajian tersebut menunjukkan pencipta tugu itu, yang berbentuk wanita berdiri tegak sambil menjulang obor, mengambil imej wanita Mesir sewaktu merekabentuk sebuah binaan lain di Terusan Suez, laluan perdagangan yang menghubungkan Laut Tengah dengan Laut Merah.

Statue of Liberty.jpg

Frédéric Auguste Bartholdi, pengarca Perancis yang mengembara di Mesir pada tahun 1855-1856, mempunyai “minat mendalam membina tugu peringatan awam dan arca agam,” mengikut Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat yang menjaga tugu tersebut, dipetik agensi berita AFP.

Sewaktu kerajaan Mesir meminta cadangan pada 1869 untuk membina rumah api di Terusan Suez, Bartholdi mereka cipta tugu besar wanita berjubah sambil memegang obor yang digelarnya “Mesir (atau Kemajuan) Membawa Cahaya ke Asia.”

Cadangan tugu rumah api itu asalnya “petani wanita berhijab,” jelas Barry Moreno yang menulis tentangnya seperti dipetik badan kajian Smithsonian Institution di Amerika Syarikat.

Edward Berenson, seorang lagi pengkaji yang menulis tentang perkara tersebut, juga dilaporkan mengesahkan pengarca itu menyediakan beberapa rekabentuk berilhamkan wanita Arab yang akhirnya bertukar bentuk seperti kekal kini.

Bartholdi mendapat peluang baru apabila sejarahwan negaranya Édouard René de Laboulaye mencadangkan projek tugu “Kebebasan Mencerahkan Dunia” sebagai hadiah warga Perancis kepada Amerika Syarikat.

Pada 1870, Bartholdi mereka tugu yang menjadi kebanggaan Amerika Syarikat itu, yang dikunjungi jutaan pelancong seperti Menara Eiffel di Paris, berdasarkan lukisan-lukisan cadangannya untuk Suez.

Bentuk akhir tugu tersebut dikatakan menyerupai Libertas, dewi Roman yang melambangkan kebebasan, memegang obor dan batu bersurat yang bertulis 4 Julai 1776, tarikh Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat.

Tugu Kebebasan, atau Statue of Liberty, dibuka dengan rasminya pada 1886.