Tragedi Lemas Di Hulu Selangor, Mayat Mangsa Terakhir Ditemui
Mangsa lemas ketujuh yang juga terakhir dalam insiden sekumpulan kanak-kanak yang dihanyutkan air deras di Kampung Timah, Bukit Beruntung,Hulu Selangor, telah dijumpai, pada jam 1.15 petang tadi.
Jasad Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12, ditemui oleh sekumpulan kaki pancing dengan lengkap berpakaian baju berwarna hitam dan berseluar panjang hijau terdampar di tebing sungai lebih dari 8 kilometer dari muara.
Mayat telah diserahkan kepada polis dan terus dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu.
Pada jam 10.20 pagi tadi, operasi SAR hari ketiga itu telah menjumpai mayat mangsa keenam iaitu Mohd Ikhwan Mohd Ridhwan, 10.
Dia ditemui di tepi sungai dalam kawasan berumput dalam jarak 1 kilometer dari pertemuan Sungai SKC dan Sungai Selangor.
Dengan penemuan jasad Muhammad Aiman, operasi SAR dihentikan serta-merta.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang Jumaat lalu, lapan kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika mereka menangguk ikan di sungai itu.
Hanya seorang daripada mereka dilaporkan selamat.
Sebelum ini, lima mangsa yang meninggal dunia akibat lemas ialah pasangan adik-beradik, Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan, 10; Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, Muhammad Iskandar Shah, 12, dan Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12.
– Astro Awani