no comments

Tipu Projek Perumahan, Boy Iman Ditangkap Lagi..! (Tahanan Reman 2 Hari)

Datuk Noruliman A Rahman atau Boy Iman yang merupakan Pengarah Urusan DBI Properties ditahan sekali lagi, semalam, selepas disyaki menipu berhubung projek pembinaan sebuah banglo, dan kini direman dua hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata mahkamah membenarkan reman sehingga esok ke atas suspek berusia 37 tahun itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan terbabit.

Boy Iman tiba di mahkamah pada 11 pagi dalam keadaan bergari dengan diiringi anggota polis.

“Reman (dibenarkan) selama dua hari saja,” katanya ringkas, hari ini.

Pelakon itu ditahan semalam ketika hadir ke Balai Polis Bukit Indah untuk diambil keterangan pada jam 5.45 petang.

Tangkapan terhadap suspek dibuat susulan laporan oleh seorang wanita yang mendakwa syarikat milik suspek gagal membina banglo yang dijanjikan.

Dalam kes itu, mangsa dikatakan membuat pembayaran RM10,000 secara tunai kepada syarikat milik suspek pada 18 Jun lalu sebelum menandatangani perjanjian dengan sebuah lagi syarikat sekutunya.

Mangsa juga mendakwa turut menyerahkan baki bayaran sebanyak RM50,000 ke akaun syarikat sekutu itu, namun sehingga hari ini, rumah yang dijanjikan kepada mangsa masih belum dibina.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Lebih 210 laporan berhubung penipuan skim perumahan DBI Properties diterima polis daripada mangsa di seluruh negara.

Sebelum ini, pelakon dan ahli perniagaan itu pernah direman di Ampang, Shah Alam, Selangor, Muar, Johor, Sungai Petani dan Kubang Pasu, Kedah, Perlis dan Negeri Sembilan berhubung kes yang sama membabitkan kerugian sebanyak RM6.2Juta.

BHarian, HMetro

Reply