Tersentuh Pada Gambar Ini, Najib Harap Bertemu Dengan Pakcik Tua Ini Kerana Mendoakan Allahyarhamah Bondanya
Tun Rahah Mohamed Noah, isteri kepada bekas Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di hospital swasta, semalam.
Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah, yang juga bonda kepada Datuk Seri Najib Razak itu telah selamat disemadikan dengan penuh istiadat penghormatan negara, 3.45 petang, hari ini.
Rata-rata pemimpin dan orang kenamaan datang menziarahi termasuk seteru najib sendiri iaitu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Namun dari sudut kejauhan ada insan biasa yang menadah tangan merafakkan doa buat Allahyarhamah bonda Najib.
Sekeping gambar itu telah menarik perhatian Najib. Tersentuh dengan gambar itu, Najib berharap bertemu dengan Pakcik tua itu kerana turut mendoakan Allahyarhamah bondanya biarpun dari jauh.
“Amat menyentuh hati saya melihat ini. Saya tidak kenal saudara tetapi saya berharap dapat bertemu satu hari nanti. Terima kasih atas doa untuk Allahyarhamah bonda. Semoga roh bonda ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. “
Menurut cerita, pakcik tua yang berasal dari Ajil, Terengganu itu pernah bekerja sebagai tukang kebun di rumah Tun Rahah. Allahyarhamah pernah biayai kos perubatannya suatu ketika dulu. Kini, dia bekerja di kedai makan kampung baru, Kuala Lumpur.
Beliau sanggup berjalan kaki dari kampung baru ke masjid negara, dan hanya berdoa dari luar kerana merasakan dirinya tak layak untuk masuk ke dalam.
Allahyarhamah Tun Rahah disemadikan di Makam Pahlawan, tempat bersemadi kakaknya, Allahyarhamah Tun Suhailah yang meninggal dunia pada 4 Oktober 2014.
Hujan renyai mengiringi sepanjang majlis pengebumian seri kandi negara itu yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama isteri Baginda, Tengku Permaisuri Norashikin.
Turut hadir juga beberapa kenamaan termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isterinya.
Terdahulu, jenazah tiba di masjid berkenaan pada 2.15 petang sebelum Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Husni mengetuai solat jenazah kira-kira 2.30 petang.
Sebaik selesai solat, jenazah diusung ke Makam Pahlawan yang terletak bersebelahan Masjid Negara untuk disemadikan.
Mengiringi jenazah kelima-lima anaknya iaitu Najib, Datuk Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam dan Datuk Mohamed Nazim.
Selepas bacaan talkin disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Negara, para kenamaan dan kaum keluarga menyiram air mawar di pusara.
Sementara itu, Najib berkata Penganugerahan Istiadat Pengebumian Negara kepada bondanya sebagai satu penghormatan istimewa dan merupakan satu kenangan manis buat keluarga Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
“Ia sudah tentu merupakan satu penghormatan yang istimewa.
“Saya percaya ia menjadi kenangan manis kepada keluarga Tun Razak,” katanya ketika ditemui pemberita di Makam Pahlawan, Masjid Negara, hari ini.
Najib juga menjemput orang ramai untuk turut serta dalam majlis tahlil dan doa selamat yang akan diadakan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, sepanjang minggu ini.
“Kita akan ada majlis tahlil pada setiap hari selama seminggu bertempat di Masjid Ar-Rahah jadi orang ramai dipersilakan kalau sudi hadir bersama,” katanya lagi
Innalillahwainnailaihirojiun… semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.
Salam Takziah..Semoga Roh Arwah berada disisi Allah..dan Semoga Dato Seri Najib dan keluarga di murahkn rezeki selalu