Terbaru Susulan Kehilangan Jururawat
Susulan Kehilangan Jururawat
‘Biarlah ada kubur Nurul’ – Bapa Nurul Wazieyana.
“Saya mahu ada kubur yang membuktikan anak saya meninggal dunia, walaupun yang dikuburkan itu hanya secebis daging,” kata Mohd Yusof Othman, bapa kepada Nurul Wazieyana, 23, yang hilang di Pantai Pasir Panjang, di sini, sejak 12 Disember lalu.
Mohd Yusof, 57, berharap pihak berkuasa membuka semula operasi mencari dan menyelamat (SAR) anaknya dengan memperluaskan radius pencarian selepas penemuan mayat Raziman Razali, 16, yang dibaham buaya ketika mandi di Pantai Kampung Santubong, kelmarin.
Dalam kejadian berasingan yang menimpa Nurul Wazieyana, jururawat yang bertugas di Hospital Umum Sarawak (HUS) itu hilang selepas terjatuh ketika berjalan di tepi pantai bersama rakannya dalam kejadian jam 6.40 petang, 12 Disember lalu.
Mohd Yusof berkata, dia teringatkan Nurul Wazieyana apabila mendengar berita penemuan mayat Raziman yang dibaham buaya dan lokasi itu tidak jauh dari tempat anaknya hilang.
“Saya difahamkan lokasi mangsa lemas hanya tiga kilometer dari Nurul hilang. Mayat remaja itu ditemui di kawasan dipercayai lubuk buaya lima kilometer dari pantai.
“Saya terfikir mungkin Nurul juga berada di kawasan sama. Saya sudah menghubungi Ketua Balai Bomba Petra Jaya, Mirza Dzalmira Miraj untuk mencari semula Nurul dan berharap mereka setuju,” katanya, semalam.
Sementara itu, bapa kepada Allahyarham Raziman, Razali Rosli, 50, berkata, penduduk tahu ada buaya di kawasan Kampung Santubong terutama di muara sungai, tetapi tidak menyangka reptilia itu menyerang manusia.
Razali berkata, penduduk biasa melakukan aktiviti di laut dan sepanjang tempoh itu, tidak pernah terjadi serangan buaya.
“Selepas ini, penduduk perlu berhati-hati ke laut dan muara sungai supaya kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya.