no comments

“Sumpah Demi Allah! Setiap Inci Tanah Tentera (40 Ribu Hektar) Diswastakan” – Rafidah Aziz

Selepas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menuduhnya menyebarkan “maklumat tidak benar” dan “pembohongan nyata”, Tan Sri Rafidah Aziz kembali membidas berhubung surat terbuka mengenai penswastaan puluhan ribu hektar tanah milik tentera.

Bekas menteri perdagangan itu mencabar kerajaan mendedahkan kertas putih Kabinet mengenai kira-kira 40,000 hektar tanah, yang menurutnya diswastakan tanpa tender terbuka di bawah rancangan yang dibentangkan Datuk Seri Najib Razak pada 2008, yang merupakan menteri pertahanan pada masa itu.

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi,” kata Rafidah melafazkan sumpah dalam mesejnya.

Jangan dinafikan fakta ini,” katanya, beberapa jam selepas Hishamuddin menafikan dakwaan dalam “surat terbuka” kepada Najib yang disiarkan di Facebooknya.

“Saya bersaksi dengan Allah. Yang penting adalah semua tanah Kementah telah diswastakan dan pajakan selama 40 tahun kepada syarikat milik individu,” katanya.

Terdahulu, Hishammuddin menafikan dakwaan Rafidah mengatakan satu syarikat milik 3 individu kini memiliki setiap inci tanah Kementerian Pertahanan atau tentera.

“Sama sekali tidak benar dan dusta yang terang-terangan,” katanya.

Rafidah antara lain berkata Najib turut mencadangkan penswastaan itu diberi secara terus kepada satu syarikat milik 3 individu, 2 lelaki dan seorang wanita, dengan tempoh pajakan selama 40 tahun, tanpa tender terbuka atau meminta sebut harga.

Katanya, beliau satu-satunya menteri yang mempersoalkan cadangan itu di mesyuarat Kabinet, antaranya mengapa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak dipilih untuk cadangan penswastaan itu.

Rafidah bertegas mempertahankan kandungan kiriman Facebooknya.

“Kementah tidak lagi memiliki 1 inci pun tanah. Semua sudah diswastakan kepada syarikat dimiliki 3 individu. Itu fakta asas. Usah lari dari fakta asas. Allah mengetahui segala-galanya,” tambahnya.

Rafidah berkata keputusannya menulis “surat terbuka” kepada Najib datang dari hati nuraninya.

“Saya tidak bertanggungjawab jika saya hanya duduk, dan membiarkan kesilapan dan salah laku berleluasa,” katanya.

Katanya, beliau tak berminat membuat kemunculan semula dalam politik, tetapi mahu membetulkan perkara yang salah.

“Saya bersara dengan gembira. Tiada satu pun keinginan untuk kembali dalam politik.”

Susulan itu, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno mempersoalkan tindakan Tan Sri Rafidah Aziz menggunakan nama Allah dalam mempertahankan dakwaannya, sambil mengingatkan bekas menteri itu mengenai kontroversi berhubung pemberian “AP” pada 2005.

“Saya mahu mengingatkan Tan Sri supaya tidak begitu mudah menggunakan nama Allah sekiranya diri sendiri belum tentu bersih,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor Irmohizam Ibrahim, merujuk beberapa kenyataan Rafidah.

Irmohizam berkata Rafidah tidak layak membuat tuduhan itu sedangkan beliau belum membuktikan dirinya tidak bersalah berhubung pemberian permit AP untuk mengimport kenderaan yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kementerian itu diketuai Rafidah di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Malangnya, Tan Sri Rafidah berdiam diri dalam isu berkenaan sepanjang tempoh jawatannya, dan keraguan tentang penerima permit yang dikaitkan dengan dirinya itu tidak pernah dijawab sehingga kini,” kata Imhorizam.

FMT

Reply