“Takkan Nak Harap Duit Suami Je”,Wanita Ini Kongsi 5 Ayat Durjana Penceramah Motivasi Yang Tak Boleh Pakai
Dalam kehidupan berumah tangga, sudah pasti akan banyak ujian dan cabaran untuk mendidik suami dan isteri menjadi lebih matang di masa akan datang.
Kenaikan kos sara hidup serta kemelesetan ekonomi yang kian merosot sekarang ini menunjukkan ,terlalu ramai pasangan suami isteri yang gagal mempertahankan rumah tangga. Banyak faktor perceraian ini adalah disebabkan faktor ekonomi yang berakhir dengan keruntuhan rumah tangga.
Perkara yang paling penting dalam kehidupan rumah tangga adalah faham akan peranan masing-masing serta mampu bertoleransi sesama suami dan isteri.
Namun sejak akhir-akhir ini, disebabkan terlalu ramai yang menghadapi masalah kewangan, ramai yang terjebak dalam dunia perniagaan. Masing-masing nak mula berniaga dan belajar berniaga untuk menambah pendapatan.
Kesan dari situasi inilah maka, semakin banyak kelas-kelas atau seminar perniagaan yang muncul bagai cendawan untuk memberikan peluang kepada mereka yang terkesan ini mula mempelajari selok belok perniagaan. Selain itu juga, kebanyakan seminar perniagaan seperti ini lebih kepada ceramah motivasi yang banyak memberikan suntikan semangat kepada peserta.
Sebagai suami isteri yang menjalani kehidupan berumah tangga, modul yang diajar tak semua boleh pakai. Dengar boleh, percaya jangan!
Dalam satu perkongsian facebook, wanita ini mempunyai pendapat yang berbeza dan ada benarnya bila kita renungkan semula. Perkongsian beliau turut mendapat ramai respon dari pembaca yang bersetuju dengan pendapatnya.
Dalam satu posting facebook dengan pemilik nama Sri A’jilah Mohd Samsir, beliau berkongsi pendapatnya..
Tolonglah jangan buat macam ni. Ia menyakitkan dan buat orang lain rasa terdesak.
Kisahnya, beberapa hari lepas, saya ada join satu bisnes talk ni. Saja nak topup ilmu, nak boost up energy, dan nak cari circle yang lebih kurang sama minded dengan kita.
Penceramah tu ulang beberapa kali ayat yang sama. Memang saya ingat sangat, ayat nilah yang buatkan saya gelabah dan stress dengan hidup saya 10 tahun dulu. Waktu tu, baru kenal bisness online dan dropship segala bagai ni.
Kebanyakan founder, akan mengulang ayat yang sama berkali-kali. Mungkin niat diorang ni, nak bagi kita semangat berbisnes tapi ayat yang disebut tu menyakitkan sangat.
“Takkan nak bergantung kat suami je!”
“Takkan nak harapkan duit suami. Kita pun kena ada pendapatan sendiri. Kena pegang duit sendiri.”
“Sekurang-kurangnya ada duit sendiri untuk beli mainan anak-anak. Takdelah asyik minta kat suami je.”
“Macam mana nak sedekah banyak-banyak kalau masih harapkan duit suami?”
“Kalau suami mati, baru menyesal tak mula sekarang!”
5 ayat durjana nilah yang membuatkan saya sibuk dengan fon dalam keadaan anak kecil-kecil yang perlukan perhatian sangat-sangat.
Duk terngiang-ngiang dalam kepala ni, kita tak mahu bergantung pada suami semata. Dah set dalam kepala, ‘aku nak ada duit sendiri.’
Lama kot saya dalam fasa huru-hara cari duit ni. Lebih kurang 4 tahun! Saya pulak memang dah biasa pegang duit sendiri dari zaman uni. Buat degree dan master pun tetap buat home tuition juga. Punyalah suka bau duit tu.
5 ayat tu berlegar dalam kepala saya yang membuatkan kita cuba nak berdikari, tak mahu bergantung pada suami sendiri.
Sudahnya, saya stress gila-gila. Pantang dengar anak menangis, terus naik hantu. Saya susah tidur, kerap jatuh sakit, dan cepat sangat down.
Akhirnya, tok laki pun berbulu kot tengok bini dia macam orang tak betul, naik angin je kerjanya. Terus dia azankan bini dia ni.
“Kalau isteri tak nak bergantung pada suami, buat apa nak ada suami, buat apa berkahwin? Kalau isteri tak nak minta duit suami, macam mana nak tolong mudahkan urusan suami bagi nafkah?”
Pedassss betul tapi sangat masuk akal. Isteri yang minta duit pada suami tu, sebenarnya sedang mudahkan urusan suami dalam bab beri nafkah. Lagipun, itukan suami kita, mintak jelah!
Paling pedas yang saya akan ingat sampai mati, bab sedekah tu.
“Awak sibuk nak cari duit sendiri untuk mudah bersedekah padahal setiap kali awak potong bawang, awak uruskan anak-anak, awak sapu rumah, semua tu sedekah awak pada keluarga. Banyak pahala! Awak tak nampak ke?”
Zassssssss!
Macam kena tikam. Pedih betul rasanya.
Sibuk nak bersedekah duit padahal sedekah tu bukan dalam bentuk duit semata.
Tolong jangan gunakan perkataan ‘sedekah’ tu untuk jerat suri rumah yang memang sudah menggunung kerja rumah yang tak penah habis. Sedangkan semua kerja rumah tu pun sudah menjanjikan banyak pahala.
Memang ada isteri yang dirinya memang Allah lorongkan untuk beri manfaat pada ummah. Dia tak lekat kat rumah, sibuk ke sana sini. Itu cara dia, bahagian dia.
Kita yang duduk kat rumah ni, bukan tak boleh cari duit lebih, tapi janganlah ada mindset mengarut macam 5 kat atas tu. Huru-hara hidup kau nanti.
Syukur dapat suami tak berkira dan faham kepala angin bini dia.
Kredit: Sri Ajilah Mohd Samsir
Kesimpulan yang boleh penulis katakan, setiap orang ada pendapat yang berbeza, perkongsian Puan A’jilah adalah memberi penekanan kepada peranan seorang isteri untuk menguruskan rumah tangga dengan sebaik mungkin. Kerana ramai wanita diluar sana yang sibuk menguruskan perniagaan atau bekerja yang seringkali terabai akan peranan seorang isteri. Tujuan Puan A’jilah tidak lain tidak bukan adalah untuk berusaha menjernihkan rumah tangga.
Pembaca dalam kalangan suami isteri terbuka untuk memberikan pendapat masing-masing, terpulanglah kepada anda. Duit tidak salah dicari jika tidak mahu bergantung kepada suami. Apa yang boleh anda buat, cubalah seimbangkan diantara keduanya supaya hubungan rumah tangga dapat dijaga sehingga akhir hayat.