no comments

Tak Sangka Ini Layanan MYDIN Kepada Golongan OKU Di Malaysia

Orang kurang upaya atau ( OKU ) di Malaysia adalah satu golongan istimewa yang diberikan layan khas kerana keupayaan mereka yang terhad dalam melakukan sesuatu perkara. Di Malaysia, golongan OKU ini terdiri daripada beberapa kategori seperti kurang upaya pendengaran, kurang upaya penglihatan, kurang upaya fizikal, masalah pembelajaran, kurang upaya pertuturan, kurang upaya mental dan kategori pelbagai.

Anda boleh dapatkan maklumat ini melalui laman rasmi melalui laman spa.gov.my bahagian maklumat orang kurang upaya yang terdiri daripada 7 kategori.

Melihat kepada keupayaan mereka yang terhad ini, golongan ini dilihat agak sukar untuk mendapatkan peluang pekerjaan sekiranya mereka telah habis diperingkat sekolah dan institusi pembelajaran. Hal ini kerana, kebanyakan syarikat yang menyediakan peluang pekerjaan memerlukan seorang pekerja yang layak dari segenap segi. Dari segi kepantasan fizikal, keupayaan membuat keputusan, menyelesaikan masalah dengan pantas dan kemahiran kepimpinan.

Dalam soal inilah, golongan OKU sering dipandang sepi oleh mana-mana majikan dan mereka tidak dapat memenuhi kelayakan untuk mendapatkan pekerjaan.

Namun harus diingat, walaupun mereka ini tidak memenuhi kelayakan, mereka tetap manusia biasa yang akan ada penghidupan, akan ada komitmen yang perlu di tanggung. Mereka juga perlukan makanan, pakaian dan tempat tinggal sama seperti mereka, tambahan lagi untuk golongan OKU yang hilang tempat bergantung.

Tular di media sosial facebook baru-baru ini, apabila satu perkongsian mengenai OKU di Malaysia telah membuka masyarakat, rupanya wujud syarikat di Malaysia yang bersedia menerima golongan istimewa ini sebagai pekerja mereka.

Dalam satu ciapan di facebook, pemilik facebook bernama Dr Kamarul Arifin Nor Sadan berkongsi kisah benar ini.

“Saya doktor perubatan rehabilitasi.

Ketika saya masih berkhidmat di hospital dulu, saya selalu tulis surat. Hampir setiap minggu saya tulis surat permohonan kerja bagi pihak pesakit saya. Itu memang antara skop kerja saya.

Saya ingat lagi ada satu surat yang saya tulis kepada salah satu cawangan MYDIN Malaysia, memohon mereka pertimbangkan mengambil seorang pesakit serebral palsi sebagai pekerja mereka.

Pesakit saya tu ada kekurangan upaya fizikal dan kognitif. Pergerakannya memang jelas nampak bermasalah. Berjalan tidak sempurna. Kawalan jari jemari pun tak baik.

Mydin balas surat saya, dan kami berjumpa untuk penerangan lanjut. Beriya-iya saya buat jelaskan kenapa pesakit saya perlu bekerja.

Bekerja adalah punca pendapatan. Bekerja adalah satu bentuk terapi. Bekerja adalah ibadah. Ia memberi sebab dan matlamat kepada kehidupan.

Tak lama selepas itu, pesakit saya dipanggil untuk sesi temuduga. Saya punyalah bimbang, macam saya pula yang akan ditemuduga.

Dipendekkan cerita, pesakit saya telah menerima tawaran bekerja dengan Mydin.

Pada orang lain, mungkin ia berita yang biasa sahaja. Namun untuk pesakit saya dan emaknya ia berita yang membanggakan. Bukan mudah untuk warga kurang upaya untuk mendapat pekerjaan.

Minggu pertama pesakit saya tu bekerja, saya pergi ke Mydin tempat dia bekerja. Saya cari-cari dia tak jumpa. Akhirnya saya bertanya kepada petugas Mydin dan saya ditunjukkan di mana pesakit saya ditugaskan.

Dia ditugaskan di lorong peralatan berkaitan ibadah, seperti kopiah, telekung, sejadah dan sebagainya. Dari jauh saya nampak pesakit saya sedang melipat sejadah. Terketar-ketar tangan dia. Lambat kerjanya.

Risau saya masih belum hilang. Saya risau bila dia kerja dalam keadaan begitu, adakah majikan dan rakan sekerja akan memandang rendah padanya. Berapa lama dia boleh bertahan di sini.

Saya mahu dia bekerja. Pekerjaan adalah punca pendapatan. Pekerjaan adalah satu bentuk terapi fizikal dan kognitif. Pekerjaan juga adalah salah satu jenis ibadah.

Saya menyapa pesakit saya, kami berborak seketika dan tak lama selepas itu kami disertai oleh penyelia pekerja. Penyelia kata Mydin akan pastikan pesakit saya berasa selesa kerja bersama mereka.

Alhamdulillah, setahu saya sehingga hari ini, dah 5 tahun dan pesakit saya masih bekerja di Mydin berkenaan. Sekali sekala saya melawat pesakit saya di sana, nampak ada pekerja OKU lain juga.

Ini suatu yang kita semua kena sokong.

Selain Mydin ada beberapa syarikat yang menerima pekerja OKU(dengan kekurangan upaya ketara), tapi itu lain kalilah saya ceritakan. Hari ini saya cerita tentang Mydin dan pesakit saya, Muhammad Agus.

Di bawah ni, ada Agus bergambar dengan Datuk Wira Ameer Ali Mydin “

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

Perubatan Rehabilitasi

Kredit to : Dr Kamarul Arifin Nor Sadan

Sebagai rakyat Malaysia, kita harusnya berbangga kerana ada insan yang berjuang untuk memastikan golongan yang terpinggir ini mendapat tempat dalam sektor pekerjaan di Malaysia. Kita juga berterima kasih kepada MYDIN Malaysia kerana bersedia menerima pekerja dalam kategori Orang Kurang Upaya untuk bekerja di perusahaan MYDIN.

Kita doakan supaya perniagaan MYDIN terus maju dan memberi manfaat kepada semua masyarakat Malaysia, tidak kira samada dalam memenuhi keperluan kita dan juga manfaat ekonomi ummah.

Reply

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close