Tak Dapat Balik Ke Sabah Kerana Covid, Pelajar Tahfiz Cuci Kereta Dari Rumah Ke Rumah Demi Kelangsungan Hidup
Ekoran pandemik Covid-19, pusat pengajian tahfiznya ditutup sehingga dirinya mengambil inisiatif mencari wang saku dengan mencuci kereta dari rumah ke rumah demi kelangsungan hidup.
Penularan pandemik itu menyebabkan Muhammad Mustaqim Mohd Nor, 20 tahun, yang tinggal di Taman Sri Mambau terjejas dan tidak dapat pulang ke pangkuan keluarganya di Sandakan, Sabah.
“Saya menjalankan usaha ini sejak seminggu lalu selepas membuat pengiklanan menerusi media sosial demi menampung perbelanjaan harian ketika ini.
“Memang saya berminat dalam bidang mencantikkan kereta dan banyak belajar menerusi saluran ‘Youtube’ cara-cara mencuci kereta dan bahan yang patut digunakan.
“Saya nekad melabur RM200 sebagai modal permulaan dan tak sangka mendapat sambutan daripada kalangan pelanggan sekitar Seremban dan Port Dickson,” katanya yang juga anak keenam dari lapan beradik.
Mustaqim berkata, sejak seminggu lalu, dia mula menjalankan kerja bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang selepas menerima tempahan dalam talian.
“Banyak tempahan yang saya terima daripada suri rumah yang mempunyai anak ramai kerana mereka ini tiada masa untuk pergi ke premis mencuci kereta berikutan batasan waktu.
“Ada juga pelanggan yang mungkin kasihan melihat saya tetapi saya ikhlas melakukan kerja ini, malah berbangga kerana usaha hasil titik peluh sendiri ini dapat memudahkan kehidupan orang lain,” katanya yang sedang mengikuti pengajian Diploma Tahfiz dan Qiraat di Gemencheh.
Mustaqim berkata, kalau dahulu keluarganya ada mengirimkan wang perbelanjaan, tetapi kini tidak perlu lagi berbuat demikian kerana dia mahu berdikari.
“Saya rasa seronok buat kerja ini kerana tidak ada tekanan dan yang penting saya minat. Sebelum ini saya pernah buat jualan coklat dan jeruk tetapi tidak lama kerana cepat bosan berbanding bila mencuci kereta.
“Dalam sehari, biasanya dalam tiga atau empat buah kenderaan saya cuci luar dan dalam bergantung kepada masa. Ada juga tempahan daripada pelanggan meminta mengilatkan kenderaan dengan kadar berpatutan,” katanya.
Katanya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, dia tidak memilih pekerjaan malah seronok apabila pelanggan berpuashati dan mengiklankan khidmatnya menerusi ‘Facebook’.
“Ramai pelanggan menghubungi, memberitahu mendapat tahu khidmat mencuci kereta di rumah menerusi Facebook yang tertera nombor telefon saya.
“Alhamdulillah, nampaknya pelanggan semakin ramai dan saya hanya mengenakan bayaran sebanyak RM15 untuk sebuah kereta biasa, mencuci luar dan dalam.
“Waktu malam saya lebih tumpukan membuat kerja mengilatkan kereta pelanggan yang dikenakan bayaran dari RM70,” katanya yang tinggal sendirian di rumah keluarganya dekat Taman Sri Mambau.