[BACA]- Surat Terbuka Dari Mufti Wilayah Persekutuan Buat Iqram Dinzly

Aksi pelik dan tidak waras pelakon Iqram Dinzly menjadi trending laman sosial sehingga mendapat perhatian dari Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Banyak kritikan dan cemurahan netizen telah dilontarkan kepada pelakon lelaki itu. Susulan itu, Mufti Wilayah Persekutuan telah menulis surat terbuka buat Izram Dinzly (Baca dibawah).

السَّلامُ عَلَيْكُم ورَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكاتُهُ
Salam perkenalan kepada saudara yang kami kasihi, Iqram Dinzly.

Baru-baru ini kami terbaca laporan akhbar, juga kisah-kisah di media sosial berkenaan kehidupan saudara kini. Pertamanya, kami ingin ucapkan takziah atas pemergian papa tercinta, almarhum Muhammad Saipuddin Ahmad Said. Semoga Allah menghimpunkannya bersama-sama dengan orang yang soleh.

Kami percaya, saudara Iqram dan mama, amat tabah menghadapi ujian ini. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Iqram sekeluarga. Kami juga yakin, Iqram mampu menjaga mama dengan sebaiknya setelah pemergian papa yang dikasihi

Berkenaan hal-hal yang berlegar di media sosial, kami mengambil sikap berkecuali kerana kami tidak tahu keadaan yang sebenar. Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum akan cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap saudara. Nasihat kami, cemuhan-cemuhan berkenaan tidak perlu dipedulikan dan diambil perhatian kerana sejujurnya ia akan lebih memberikan tekanan kepada saudara.

Dalam pada itu, kami nasihatkan saudara supaya mendekati al-Qur’an, begitu juga zikir-zikir. Kami ada menonton beberapa LV saudara yang menunjukkan saudara adalah seorang yang melazimi zikir. Itu adalah hal yang amat baik kerana hanyasanya dengan mengingati Allah SWT, jiwa akan menjadi tenang.

Akhir kalam, kami menjemput saudara Iqram untuk hadir ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya untuk kita lebih mengenali antara satu sama lain, juga berbincang berkenaan situasi dan keadaan saudara. Mungkin ada sisi-sisi tertentu yang boleh kami usahakan untuk bantuan dan sokongan. Boleh hubungi kami melalui Twitter @drzul_albakri atau Instagram @drzulkifli.albakri

Semoga Allah memberikan ketabahan kepada saudara dalam menempuh ranjau kehidupan dengan penuh kesabaran dan kekuatan. Amin.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Rabu, 27 Disember 2017 bersamaan 8 Rabi’ul Akhir 1439H

 

Sebelum ini, Ketua Unit Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad berkata, pelakon berkenaan perlu mendapatkan rawatan psikiatri bagi menyelesaikan masalah mental yang dihadapinya.

“Kita patut bersimpati kepada dia kerana baru kehilangan bapanya. Kematian orang tersayang boleh menyebabkan kemurungan dan tekanan apatah lagi Iqram kehilangan bapanya baru-baru ini.

“Jalan terbaik ialah dia perlu jumpa pakar sakit jiwa bagi memastikan di mana stage yang dilaluinya itu dan mendapatkan rawatan yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, Fauziah berkata, masalah kewangan juga menjadi faktor menyumbang kepada hal psikologi seseorang.

Bagaimanapun, menurutnya, menerusi cara pelakon itu berkomunikasi di laman sosial boleh dianggap pada peringkat awal.

“Selain itu kurang job dan kedai di Langkawi dia ditutup juga sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada psikologinya.

“Saya kira dia boleh bercakap dengan baik mungkin kerana dia pelakon dan kita sukar untuk menjangkakan stage dia sekarang. Dulu ada juga seorang penyanyi yang mengalami masalah yang sama, malah pulih dan kembali sihat selepas mendapatkan rawatan.”

Facebook Mufti Wilayah Persekutuan, mStar.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top