no comments

Sultan Selangor Kahwini Pembaca Berita RTM

Sultan-Selangor-nikah-kawin

Sultan Selangor Kahwini Pembaca Berita RTM

Rakyat Selangor mendapat berita gembira apabila mempunyai tuanku permaisuri, selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah selamat diijabkabulkan dengan Norashikin Abdul Rahman yang juga personaliti RTM di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada Rabu lalu.

Setiausaha sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda dinikahkan oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dalam satu majlis sederhana dan ringkas pada pagi Hari Kebangsaan, 31 Ogos 2016.

Majlis Pernikahan turut dihadiri oleh Timbalan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir; bekas timbalan mufti negeri, Mohd Rasid Mahful dan ahli majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah bapa dan ahli keluarga pengantin perempuan.

Norashikin, 45, merupakan pembaca berita RTM dan bekas pramugari Malaysia Airlines pernah berkahwin dengan Mustapha Kamal Halim, seorang juruterbang Etihad Airlines. Dikurniakan dua anak, Nur Amanda, 17 dan Adam Salleh, 14.

Berasal dari Kuala Lumpur, beliau adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan pernah meraih anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2005 (ASA2005).

Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan Sultan Selangor kesembilan yang memerintah negeri Selangor sejak 22 November 2001 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

Pada tahun 1968, baginda berkahwin dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal dan dikurniakan dua puteri, Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah.

Setelah berpisah pada 1986, baginda berkahwin dengan seorang warga Amerika Syarikat, Nur Lisa Idris Abdullah pada tahun 1988 (berpisah pada 1997) dan mempunyai seorang putera, Tengku Amir Shah hasil perkahwinan tersebut.

sultan kahwin

Sultan-selangor-nikah

Sementara itu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah mengucapkan tahniah kepada ayahandanya di atas pernikahan baginda dengan berkata beliau menyokong keputusan dibuat Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya tiada apa-apa tetapi kagum dengan lelaki ini yang saya panggil sebagai ayahanda.

“Saya akan sentiasa menyokong dan berada di belakangnya, saya sentiasa berbangga menjadi anakmu.

“Alhamdullilah, dan tahniah ayahanda! Saya amat gembira untuk anda,” tulis putera raja itu di laman Instagramnya pada Jumaat.

Reply