“Skim Rumah Harga 10 Ringgit Dah “Sold Out”, Kami Tak Payah Bayar, Dato Seri Bayarkan, MasyaAllah..
Di saat keadaan ekonomi yang semakin tenat ketika ini, ramai individu yang berimpian untuk membeli rumah terpaksa melupakan sementara hasrat itu, ini kerana faktor kewangan yang belum stabil , pendapatan terputus, dipotong gaji, dibuang kerja dan sebagainya.
Kesan dari keadaan ini, ramai yang memilih untuk terus menyewa sehingga ke akhir hayat. Keadaan ini amat menyedihkan dan terpaksa dilalui oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.
Dalam kesempitan rakyat Malaysia ketika ini, tetap muncul juga skim pembelian rumah yang amat mencurigakan. Hal inilah menyebabkan ramai kalangan mereka terpaksa mencari alternatif untuk mencuba cara lain yang mungkin boleh memenuhi impian untuk membeli rumah sendiri.
Maka munculah syarikat perumahan yang mengambil peluang untuk melakukan skim yang ‘too good to be true’ yang mencari mangsa yang terdesak membeli rumah.
Belum habis dengan skim penipuan beli rumah dari syarikat Boy Iman dan Al Fafa Group sebelum ini, kini muncul lagi skim beli rumah terbaru yang dikenali dengan nama Syarikat MRF Consultant yang mempromosikan pakej rumah yang hanya berharga RM10.
Harga yang disediakan oleh syarikat ini langsung tidak masuk akal , namun tetap juga ramai yang mencuba nasib untuk menyertai skim ini dengan harapan, mana lah tahu, dapat beli rumah sendiri dengan harga yang jauh lebih murah, serendah harga jajan di kedai sahaja.
Tawaran rumah berharga RM10 ini turut disahkan oleh Pengarah MRF Consultant yang ingin dikenali sebagai Dato Sri Siti Nur Atiqah menerusi video temuramah bagi Skim Rumahku Syurgaku.
Menurut Dato Sri ini, beliau mendapat ilham buat rumah RM10 ini ketika berada di depan Kaabah. Tambah beliau lagi, dia sendiri tidak ralat jika ada orang mencuri ideanya dalam usaha untuk menolong orang ramai terbeban membeli rumah dengan harga yang mahal.
Dalam info lain setakat ini, lebih 100 individu didakwa telah ditipu dalam skim ini, mereka hanya perlu membayar RM10 sahaja untuk memiliki rumah yang dibawah harga setengah juta ringgi dimana sahaja lokasi yang dipilih.
Tawaran ini sangatlah tidak logik dimana orang lain hampir bergolok gadai untuk mendapatkan rumah sehingga kehabisan wang simpanan, mereka dengan mudah menawarkan rumah berharga RM500,000 dengan pakej RM10.
Guna artis dan pelakon untuk lariskan promosi.
Antara modus operandi untuk menarik ramai orang dan mempengaruhi mangsa adalah menggunakan pengaruh artis yang dikenali. Taktik ini sangat membantu kepada mereka yang terdesak jadi ‘cair’ dengan tawaran sedemikian rupa.
Artis tersebut dijadikan duta untuk mempromosikan skim rumah ini dan ianya akan kelihatan lebih meyakinkan. Maka ramailah yang percaya.
Antara ayat -ayat manis dari promosi artis ini ialah
“Rumah harga RM10 dan sold out, kita tak payah bayar, dato sri bayarkan, masyaAllah, semoga murah rezeki dato tolong kami”
seperti dalam video ini..
Ketika ini, mereka sedang aktif mempromosikan skim bayar RM10 dapat rumah RM500,000, menurut sinar harian, projek berkenaan dijalankan bersama ahli keluarga yang bergiat dalam perniagaan hartanah.
Dalam satu perkembangan terkini, Peguambela dan peguamcara , Mahmud Abdul Jumaat memaklumkan, jumlah kerugian pendeposit terlibat melebih 2.3 juta.
Kebanyakan pendeposit ini merasakan diri mereka ditipu oleh Dato Sri berkenaan dan telah membuat laporan polis.
Untuk memerangi kes ini, aktivis yang berjuang untuk membela kes penipuan ini puan Mona Din berkongsi, pihak beliau banyak menerima aduan dan maklumat mengenai penipuan tersebut termasuk juga bekas pekerja syarikat hartanah berkenaan.
Tambah Mona lagi, rupa-rupanya Syarikat ini telah melakukan modus operandi yang sama sebelum ini sekitar tahun 2013 hingga 2015 dengan menawarkan tawaran rumah murah.
Kita harus berwaspada sewajarnya, janganlah kita mudah tertipu lagi berkali-kali walaupun skim berkenaan sudah banyak ditawarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Gunakanlah akal fikiran yang waras untuk menilai dengan sebaiknya.
Jangan kita mudah tertipu hanya dengan dakwaan pengaruh artis sambil diselitkan unsur agama untuk mempengaruhi kita.