Siapa Sangka.. Eah Chu Pok Ya Cong Codei Sebenarnya Seorang Imam, Bukan Pelakon!
Mazlan Sulaiman, 43 tahun, dari Kampung Tanjung Che Mah, Tumpat, mengakui mengalami kejutan apabila telefilem Pok Ya Cong Codei yang dibintanginya bersama Sabri Yunus mencetuskan fenomena.
Tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menjadi pelakon kerana dunia lakonan itu dianggap terlalu asing, apatah lagi menjadi popular seperti yang dialaminya sekarang ini.
Mazlan berkata, di mana-mana pun di dalam negara dan Selatan Thailand sekarang, orang menyapanya dengan panggilan Eah Chu dan lebih melucukan apabila ada yang menyangka dia betul-betul orang Siam.
“Saya kenal dengan Sabri Yunus ni melalui kawan ketika Sabri mahu membuat dokumentari mengenai kemasukan Islam di Patani, saya membantunya kerana saya sudah biasa dengan suasana di Thailand.
“Seminggu bersama dengannya, saya sudah menjadi rakan baiknya. Saya ceritakan kepadanya mengenai usaha saya mencari dana untuk menyiapkan Masjid Nurul Bahri di Kampung Pulau Panjang, Takbai,” katanya.
Mazlan yang juga imam masjid berkenaan berkata, Sabri turut meyumbang kepada masjid berkenaan hasil kutipan yan dibuat bersama rakan-rakan artisnya.
“Baru-baru ini, Sabri meminta saya ke Kuala Lumpur dan saya memenuhinya kerana anggap Sabri mungkin perlu berbincang sesuatu dengan saya.
“Sampai di sana, tiba-tiba saya diminta berlakon, saya terkejut besar kerana ini bukan bidang saya, saya hanya tok imam dan tak pernah berlakon,” katanya ketika diraikan rakan media sosialnya di Restoran Dapur Ibu di sini, semalam.
Katanya, walaupun ada skrip sebagai asasnya, Sabri banyak menambah skrip spontan ketika pengambaran yang menyebabkan cerita itu menjadi hebat.
Tambah Mazlan, apabila Pok Ya Cong Codei mencetuskan fenomena, baju T eksklusif berdasarkan telefilem itu yang dikeluarkan satu syarikat dengan izin syarikat produksi Balang Rimbun, laris dijual.
“Sabri terus menolong saya apabila RM1 daripada setiap helai baju T yang dijual disumbangkan ke masjid saya.
“Saya berusaha mencari dana untuk masjid ini sudah bertahun-tahun, rezeki ALLAH SWT ini datang dalam pelbagai saluran dan saya tak terfikir pun ia datang dengan cara ini,” katanya.
Katanya, sudah RM400,000 dibelanjakan untuk membina Masjid Nurul Bahri itu dan sebanyak itu lagi diperlukan bagi menyiapkannya.
“Saya berulang alik dari kampung saya di Tumpat ke Takbai sudah empat tahun, tambang perahu sahaja sudah RM600 sebulan tapi saya tetap menggalas tanggungjawab yang diberikan demi membina tunas Islam di kampung nelayan itu.”
–Sinar Harian