‘Saya Nak Mati Dalam Islam, Bertemu Cucu Di Akhirat’ .. Lucy Nawi Ceritakan Penyebab Dirinya Masuk Islam..
“Malam tadi (kelmarin) saya bermimpi didatangi seorang perempuan berpakaian putih bercahaya mengajak saya masuk Islam.
“Badannya, bajunya, mukanya berkelip-kelip, bersinar, dia cakap agar saya jangan risau, dia boleh tolong ajarkan (tentang Islam), lepas tu saya terbangun dan rasa macam tak percaya tetapi sangat gembira,” kata saudara baru, Lucy Nawi ( 59 tahun), ketika ditemui di rumahnya di Tanah Merah Site C, Chuah, semalam.
Katanya, mungkin kerana sebelum ini dia memberitahunya hasrat mahu memeluk agama yang suci ini sudah lama kepada Ketua Muslimat PAS Port Dickson, Bashariah Shaari yang mengunjunginya bagi menghantar bantuan barangan makanan harian.
“Pagi tadi (semalam) dia datang lagi ke rumah saya terus membawa saya ke Pejabat Agama Islam Port Dickson dan saya mengucapkan dua kalimah syahadah yang disempurnakan Mudir Pondok Moden Darul Solah, Ustaz Mahfuz Roslan bersaksikan pegawai pejabat Agama.
“Sebaik saya melakukannya, terasa seperti sangat bahagia kerana akhirnya hasrat saya tercapai di usia emas. Baru saya rasa bagaimana seronoknya seolah-olah baru dilahirkan,” kata nenek kepada dua cucu, Jhoshua Arifazul Akhbar (13 tahun), dan adiknya Siti Madinatul Zulhaziah, (9tahun).
Lucy berkata, dia berminat menggunakan nama ‘Aisyah’ seperti yang dicadangkan Yang Dipertua PAS Port Dickson, Ustaz Abdul Fatah Zakaria sempena nama isteri Nabi Muhammad.
“Nama belum daftar secara rasmi lagi tetapi saya tertarik dengan nama Aisyah seperti yang dicadangkan ustaz semalam. Mungkin juga dengan nama ini membuatkan saya lebih bersemangat.
“Dari dulu saya terfikir bagaimana dengan nasib dua cucu saya jika saya mati dulu kerana mereka tiada sesiapa dan andainya saya tidak Islam, tentu lebih menyukarkan mereka.
“Alhamdulillah, kedua cucu saya sangat gembira bila mendapat tahu saya ikhlas nak peluk Islam dan saya sangat bersyukur sudah Muslim sekarang, dapatlah kami bertemu di akhirat nanti,” katanya yang berasal dari Sibu, Sarawak.
Tambahnya, Islam bukan asing dalam keluarganya kerana selain dua cucu ini, abang dan dua adik perempuannya terlebih dahulu masuk Islam sejak puluhan tahun lagi.
“Sekarang saya rasa kehidupan makin tenang dan yang penting cucu rasa selamat, mungkin atas doa mereka melembutkan hati saya menerima Islam.
“Saya tidak bekerja sejak 13 Januari tahun ini kerana kilang dobi tempat saya bekerja terpaksa membuang pekerja akibat pandemik Covid-19.
“Buat masa sekarang, saya hanya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk kegunaan pendidikan dua cucu saya manakala sewa rumah RM350 sebulan dilunaskan Baitulmal sehingga bulan Februari tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Port Dickson, Bashariah Shaari berkata, dia tidak menyangka pelawaan untuk masuk Islam disambut dengan linangan air mata.
“Lucy sudah lama berhasrat nak masuk Islam tetapi tidak tahu nak mengadu dengan siapa dan saya melihat dia seperti tercari-cari arah pegangan hidup.
“Saya harap dia akan menjadi muslimah sejati dan dalam masa yang sama akan turut memantau perkembangan Lucy dari masa ke semasa dan tambahan sekarang ini dia tidak bekerja, mereka sekeluarga perlu dibantu,” katanya.
Sebelum ini media pada 20 Julai tahun lalu, pernah menyiarkan kisah Lucy yang beragama Kristian tetapi menjaga dua cucunya yang beragama Islam.
Tanpa ayah dan ibu di sisi, dua beradik itu bergantung hidup dan menumpang kasih dengan nenek kandung mereka, Lucy Nawi.
Dua beradik itu tinggal bersama Lucy sejak bapa mereka tidak dapat menjaga mereka atas sebab tertentu.
Menurut Lucy, perbezaan agama sedikit pun tidak menggugat kasih sayang antara mereka sebelum ini.