no comments

‘Saya Dulu Freehair, Dah Nikah Pun Masih Tak Reti Tutup Rambut, Sehinggalah Satu Peristiwa Yang Menghenyak Hati Saya’- Suzy Sharif

” Saya dulu free hair.

Masa bernikah pun masih tidak reti nak tutup rambut.  Ketika itu, bagi saya tidak ada sekelumit pun rasa segan atau silu bila mempamirkan aurat.

Paling sadis, semasa hendak bertemu dengan bakal keluarga mentua. Dalam hati saya berkata, ni nanti kalau kena reject memang sahlah sebab kau tak pakai tudung.

Rezeki saya berserta dengan jodoh yang Allah sudah tetapkan. Saya diterima masuk ke dalam keluarga Tuan Haji, di mana kakaknya seorang ustazah dan dua adik-adik perempuannya bertudung litup.

Titik permulaan saya mula menutup aurat dengan sempurna ketika umur saya menginjak angka 37.
Sudah tua ya masa ni. Anak pun dah tiga orang.

Kisah hijrah yang betul-betul menyentak hati, ingin saya kongsikan di sini.

 

Walaupun saya sudah memakai tudung bila keluar rumah, tetapi saya masih free hair di dalam rumah, walaupun kadang-kadang ada adik ipar atau biras laki-laki datang bertandang.  Sungguh saya tidak merasa apa-apa yang salah.

Sehinggalah pada suatu hari. Seorang lelaki ajnabi telah memalingkan wajahnya bila ternampak saya yang tidak bertudung.  Reaksinya menghenyak hati saya.

Sedangkan manusia sudah tidak sudi untuk memandang saya, apatah lagi Allah Taala. Malunya saya bukan kepalang.  Sedetik saya terfikir, jika kerana sikap saya ini bakal mendatangkan dosa mata kepada orang lain, jadi di waktu bila kehidupan saya bisa memberi manfaat kepada mereka?

Malam itu saya tidur dengan perasaan yang berbaur. Malu, sedih, kecewa dan takut. Sehinggalah pada satu hari, entah apa puncanya. Tiba-tiba..

Saya keluar dari bilik lengkap berseluar panjang dan berkemeja longgar. Bertudung litup dengan sempurna.
Sehingga saya ditegur oleh adik ipar saya dan bertanya saya mahu ke mana sudah bersiap seperti mahu berpergian.
Lancar kemudiannya lidah saya menjawab. Yang saya sedang memelihara aurat saya di depannya.  Subhan-Allah.

Dan tiba-tiba semua perasaan teragak-agak dan kebimbangan saya tentang anggapan manusia sekeliling hilang lenyap.

Sibuk sungguh hati saya mencongak apa kata orang ini, apa kata orang itu.  Sedetik Allah balikkan hati, persoalan itu sirna dan dikurniakan pula rasa tenang dan damai yang tidak terperi.

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ
“Wahai Dzat yang Maha Membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu”

Saya kira itulah petunjuk hidayah yang telah Allah kurniakan kepada saya. Semenjak hari itu saya sentiasa berdoa supaya penghijrahan saya di dalam berbusana muslimah ini istiqomah sehingga ke akhir hayat saya.

Benar, setiap perubahan di dalam hidup kita. Tidak akan boleh jadi sempurna sekelip mata. Cabaran pasti ada untuk melihat sekuat mana iman kita.

Berdoalah minta Allah pelihara niat dan tujuan hidup kita. Benar, hidayah milik Allah Taala dan sebagai hamba kita wajib memohon daripadaNya.

Marilah teman-teman, sementara waktu masih lagi milik kita di dunia ini. Kita yang berkehendak akan syurgaNya.
Dan bukanlah sebaliknya.

Janganlah sampai bila hari kita dikapankan nanti adalah merupakan detik pertama dan terakhir kita menutup aurat dengan sempurna.  Semuanya sudah tidak bermakna apa-apa.”

Suzy Sharif

Reply