no comments

“Sampai Sekarang Tiada Laporan Penuh Hasil Bedah Siasat” – Keluarga Thaqif

“Sampai Sekarang Tiada Laporan Penuh Hasil Bedah Siasat” – Keluarga Thaqif

Susulan kematian pelajar tahfiz, Mohammad Thaqif Mohd Gaddafi, yang didakwa dipukul pembantu warden asrama sehingga mengakibatkan jangkitan kuman pada kedua kakinya.

Keluarga Arwah menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak hospital mendedahkan keputusan hasil bedah siasat ke-2 ke atas jenazah pelajar tahfiz itu yang dilakukan pada 18 Mei lalu.

Ibu Thaqif, Felda Wani Ahmad berkata selepas anaknya meninggal dunia pada 26 April sehingga kini tiada laporan penuh punca kematian dimaklumkan kepadanya.

“Sampai sekarang kami belum terima sebarang laporan keputusan bedah siasat, sebenarnya kami masih lagi menunggu laporan perubatan itu. Kita nak tahu kalau betul anak saya sakit, kita nak tahu sebab kematian tapi sampai sekarang tiada apa-apa.

“Masa hari kematian, pihak hospital kata laporan akan dikeluarkan dalam masa sebulan dari tarikh arwah meninggal. Kini sudah lebih 40 hari sehingga kubur digali semula dan dijanjikan 2 minggu untuk tahu keputusan (bedah siasat ke-2), namun tidak ada apa-apa lagi,” katanya semasa sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini.

Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM Hishamuddin Hashim turut mendesak KKM mengeluarkan laporan perubatan dengan kadar segera sekaligus mengelak berlakunya pelbagai spekulasi yang boleh memburukkan nama pihak terlibat.

“Kita minta laporan perubatan dikeluarkan dengan kadar segera bagi mengelak timbul pelbagai spekulasi. Jika spekulasi berterusan kita bimbang ada pihak atau kementerian tertentu akan tergugat.

“Kita juga minta laporan yang dikeluarkan itu telus dan tidak menyembunyikan kesalahan mana-mana pihak,” katanya kepada media sambil menegaskan akan menyediakan khidmat peguam pemerhati sehingga keluarga Thaqif mendapat keadilan sepenuhnya.

Ibu arwah juga turut mempersoalkan tindakan mahkamah yang tidak memaklumkan kepada keluarganya terlebih dahulu berhubung proses menggali semula kubur Thaqif.

“Dah sebulan arwah meninggal, kami hanya tahu bila orang kampung dah tunggu di kubur untuk proses menggali.

“Walaupun mahkamah yang arahkan, kenapa mereka tak maklum lebih awal. Kata dah ambil sampel tetapi kenapa kena ambil sekali lagi (gali semula),” katanya dalam keadaan sebak.

Pada 19 Mei lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Subramaniam berkata laporan bedah siasat ke-2 Thaqif akan diketahui dalam tempoh 2 minggu. Beliau berkata bedah siasat pertama ke atas pelajar tahfiz yang meninggal dunia 26 April lepas itu sudah dijalankan namun punca kematiannya masih belum diketahui.

 

FMT

Reply