no comments

“Nak Saman, Saman lah”.. Penerbit Drama ‘Lafazkan Kalimah Cintamu’ Tak Takut Ugutan Farid Kamil

“Saya mengalu-alukan sekiranya Farid ingin menyaman produksi, yang kononnya menyebabkan dia tercedera ketika penggambaran. Saya mempunyai segala bukti dan gambar serta bersedia untuk menegakkan kebenaran di mahkamah,” kata penerbit dan novelis popular tanahair, Siti Rosmizah Semail.

“Saya juga tidak teragak-agak untuk menyaman Datuk Farid Kamil yang didakwa melanggar beberapa syarat ketika penggambaran drama rantaian, ‘Lafazkan Kalimah Cintamu.”

 

Siti Rosmizah mendakwa, sikap tidak berdisiplin pelakon berkenaan menyebabkan beliau mengalami kerugian ketika menghasilkan drama arahan Jalena Rejab dan Along Kamaluddin itu.

“Farid mengadu kaki kanannya bernanah kerana air kotor yang digunakan untuk babak dalam drama pada 26 November tahun lalu. Sebenarnya, saya guna khidmat bomba Wangsa Maju dan air diambil adalah air terjun, bukan air kotor seperti didakwa.

“Kenapa hanya kaki kanannya bernanah, sedangkan satu badan terkena hujan palsu yang dibuat itu? Saya dimaklumkan, kaki kanan Farid sudah mengalami gatal-gatal sebelum itu lagi.

“Jika benar dia ingin saman saya, saya pun ingin menuntut kerugian kerana masalah yang ditimbulkan olehnya.” katanya lagi.

Siti Rosmizah yang juga penerbit bersama drama rantaian 7 Hari Mencintaku, berkata; Farid sudah menghantar beberapa tuntutan kepada pihak peguamnya.

“Selain isu air kotor yang dibangkitkan, saya juga menerima tuntutan daripada peguam Farid yang mendakwa anak guamnya diminta membuat aksi lasak membahayakan nyawa ketika penggambaran ‘Lafazkan Kalimah Cintamu‘ itu.

“Sebenarnya tilam disediakan untuk adegan yang memerlukan Farid jatuh, jadi bagaimana pula boleh membahayakan nyawa? Mungkin saya baru lagi sebagai penerbit, namun saya guna dua pengarah yang sudah lama berkecimpung dalam bidang pengarahan.

“Saya tidak mahu memanjangkan isu ini dengan terus membuat kenyataan balas. Jika benar Farid ingin saman, saya sudah bersedia. Saya mempunyai latar belakang sebagai peguam, jadi saya sudah mengumpul segala bukti yang ada,” katanya.

Terdahulu, Datuk Farid Kamil membuat dua laporan polis dan memuat naik fotonya di laman sosial Instagramnya, menyatakan beliau mahu terus memperjuangkan nasib orang yang teraniaya, tanpa menyebut individu dimaksudkan.

Beberapa hari kemudian, Farid mendedahkan dianayai tiga rakan artis yang meletakkan dadah ke dalam minumannya dan diberikan rokok bersalut sejenis cecair hingga membuatkan dirinya tidak waras dan berasa khayal.

Susulan itu, pelakon watak antagonis, Sofi Jikan ditahan reman hari ini. Manakala dua lagi individu yang merupakan pengarah dan penyanyi yang pernah terkenal dengan genre R&B pada 1990an dikenalpasti pihak polis.

BHarian

Reply