no comments

Saman Tetap Saman! Mahkamah Tolak Permohonan Najib Batal Saman Isu Seleweng Dana 1MDB

Mahkamah menolak permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan syarikat pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membatalkan saman yang dikemukakan Gerakan Anak Muda Tolak MO1/Najib (GANT1) berhubung pembayaran pinjaman jaminan bon berjumlah RM35 billion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investment PJS (Aabar Asli).

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Hue Siew Kheng menolak permohonan tersebut dalam prosiding yang berlangsung dalam kamarnya hari ini.

Prosiding itu dihadiri peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun bagi pihak Najib, Datuk Tan Hock Chuan bagi pihak 1MDB dan Muhammad Haniff Khatri Abdulla bagi pihak Gant1.

Ketika ditemui pemberita Muhammad Haniff Khatri berkata, mahkamah menolak permohonan tersebut kerana ianya tidak mempunyai merit dan kesemua plaintif mempunyai kedudukan yang sah disisi undang-undang untuk memulakan tindakan saman itu.

“Defendan juga telah gagal memberikan butiran secara terperinci mengenai ‘award’ persetujuan timbang tara berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu katanya mahkamah memutuskan kes itu diteruskan untuk perbicaraan dan mengarahkan kesemua defendan memfailkan penyataan pembelaan masing-masing.

Sementara itu peguam Mohd Hafarizam Harun memberitahu, pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.

“Kami juga akan mengemukakan permohonan supaya pemfailan pernyataan pembelaan ditangguhkan selewat-lewatnya Isnin ini,” katanya.

Selain Najib, dan 1MDB, Kerajaan juga memohon untuk membatalkan tuntutan itu diwakili peguam Kanan Persekutuan Alice Lok.

Pada 11 Julai 2017, 10 individu berkenaan memfailkan saman tersebut terhadap perdana menteri, 1MDB dan kerajaan bagi memaksa kerajaan membuat pengisytiharan serta mendedahkan akaun yang digunakan bagi membayar International Petroleum Investment Co (IPIC).

Antara individu yang dinamakan sebagai plaintif ialah Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil; wakil Armada Bersatu, Mahathir Mohd Rais serta wakil Dapsy, Howard Lee.

Dalam pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa 1MDB telah mendapat bantuan bon sebanyak AS$3.5 bilion untuk pembelian loji tenaga daripada IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Asli.

Menurut Laporan Jawatankuasa Kira- kira Wang Negara (PAC), 1MDB mendakwa telah membuat bayaran sebanyak AS$3.5 bilion kepada Aabar (BVI) pada 2012 dan 2014.

Bagaimanapun, dakwa mereka, kesemua defendan gagal mengambil sebarang tindakan untuk mendapatkan semula wang yang telah tersalah bayar kepada Aabar (BVI) dan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.

Sementara itu, menurut mereka, pada 14 Jun 2016, IPIC dan Aabar asli telah membawa tuntutan arbitrasi di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa London terhadap 1MDB dan kerajaan berhubung wujudnya tuntutan berjumlah AS$6.5 bilion atas dakwaan kegagalan 1MDB menunaikan kontrak kepada IPIC dan Aabar asli.

Bagaimanapun mereka mendakwa tuntutan itu merupakan jaminan bon yang diberikan IPIC ke atas pinjaman 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion sedangkan jumlah itu tidak dibayar kepada Aabar asli.

Sehubungan itu mereka antara lain menuntut satu deklarasi bahawa persetujuan penyelesaian tuntutan arbitrasi antara IPIC dan Aabar Asli terhadap kerajaan dan 1MDB di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London adalah tidak sah dan terbatal.

Sinar Online

Reply