Menangis Peminat ‘Lofattah’, Nur Sajat Kini Skandal Baru Fattah Amin!
Hangat sedang diperkatakan oleh warga maya sekarang ini selepas viral satu video di sebalik penggambaran sebuah drama yang dilakonkan usahawan kosmetik terkenal, Nur Sajat.
Dalam video yang dimuatnaik di instagram miliknya, Sajat kelihatan memakai gaun hitam dan bergincu merah, berlakon bersama pelakon kacak-kayu kegilaan gadis-gadis malaya, Fattah Amin.
Sajat berkata, dia membuat kemunculan khas dalam drama bersiri berjudul ‘Coffee Prince‘ arahan Michael Ang yang menjadi kontroversi sebelum ini (berbalah pasal heroin).
Sajat memberitahu, dia sekadar watak kecil yang membuat kemunculan singkat digandingkan bersama Fattah dalam drama berkenaan.
“Saya memegang watak kecil sebagai seorang wanita yang bekerjaya. Adegan ini menunjukkan sesi perkenalan antara saya dan Fattah.
“Mesti ramai tertanya-tanya kami berkenalan sebagai apa kan? Mungkin ‘skandal’ mungkin kenalan. Kalau nak tahu sama ada saya akan jadi ‘skandal’ bagi watak yang dilakonkan Fattah, kenalah tonton drama ni nanti,” katanya dengan nada teruja.
Namun ia bukan pertama kali Sajat berlakon kerana sebelum ini, jutawan itu pernah menjadi pelakon tambahan dalam filem Ophilia yang dilancarkan pada 2014.
Ini termasuk pengalamannya dalam pementasan teater menyebabkan Sajat tidak kekok untuk berlakon di hadapan kamera.
Ditanya adakah gemuruh digandingkan bersama Fattah, Sajat menyifatkan dia selesa dengan sikap pelakon lelaki pujaan ramai itu yang mudah bekerjasama.
“Fattah seorang yang sangat positif dan terbuka. Lagipun kami dah buat latihan dahulu sebelum sesi penggambaran.
“Michael pun ada beri tips dan penerangan dari segi jalan cerita dan situasi lakonan. Jadi, lebih memudahkan Sajat untuk memegang watak tu. Lagipun Sajat memang wanita berkerjaya seperti sekarang. Jadi, tak ada masalah,” katanya.
Walaupun kemunculannya hanya singkat dalam drama bersiri tersebut, tetapi Sajat berharap ia dapat memberi impak yang besar kepada penonton.
“Saya terima tawaran berlakon daripada Michael ni pun disebabkan watak kecil tetapi memberi impak yang besar dalam drama ini.
“Saya juga berharap drama ini nanti mendapat rating yang bagus sebab ia melibatkan pelakon-pelakon yang popular seperti Fattah termasuk Janna selain pengarahnya yang hebat dan versatil,” katanya.
Drama Coffee Prince arahan Michael Ang yang menggandingkan Fattah dan Janna Nick merupakan adaptasi drama Korea lakonan asal Gong Yoo, Yoon Eun-hye, Lee Sun-kyun dan Chae Jung-an.
–Mstar Online