Rupanya Inilah Puncanya Kenapa Lelaki Larikan Kereta Polis Di IPD Taiping
Tindakan gila seorang lelaki melarikan sebuah kenderaan peronda (MPV) milik ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping berjaya dipatahkan selepas dia ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Taiping Utara, berhampiran susur masuk Tol Kamunting, pagi tadi.
Dia berjaya ditahan pada jam 7.48 pagi selepas 20 minit ‘bergaya’ dengan kenderaan berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, dalam kejadian 7.28 pagi itu, dia dikatakan memasuki kawasan parkir IPD Taiping dengan menaiki kereta jenis Ford Fiesta dan meninggalkan kenderaannya sebelum melarikan MPV polis yang diparkir di kawasan khas.
Tertekan kerana baru sahaja bercerai dengan isteri dipercayai antara punca seorang lelaki bertindak di luar kawalan dengan melarikan sebuah kereta peronda polis (MPV) itu.
Lelaki berusia 30 tahun terbabit dikatakan cuba membawa diri merentasi negeri ke Kuala Lumpur, namun tidak mempunyai surat kebenaran polis.
Bagi membolehkannya melepasi sekatan jalan raya, difahamkan dia bertindak nekad menggunakan kenderaan polis bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa.
Bagaimanapun tindakan lelaki itu membawa keluar MPV berkenaan dari pekarangan balai disedari pengawal di pondok polis.
Tidak sampai setengah jam bertindak sedemikian, dia berjaya ditahan bersama kenderaan yang dilarikan di SJR Taiping Utara iaitu di susur masuk Tol Kamunting, dan dibawa ke IPD untuk tindakan lanjut.