no comments

Rokok Elektronik Dan Vape Difatwakan Haram

Rokok Elektronik Dan Vape Difatwakan Haram.jpg

Majlis Fatwa Kebangsaan semalam telah memutuskan penggunaan rokok elektronik dan vape difatwakan sebagai haram.

Pengerusinya, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, perkara itu diputuskan sebulat sua­ra oleh ahli-ahli muzakarah setelah meneliti hasil kajian dari sudut syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya yang tidak sihat.

Beliau berkata, setelah meneliti hasil kajian daripada sudut syariah, penggunaan rokok elektronik dan vape adalah memudaratkan manusia sama ada cepat atau lambat.

Menurutnya, orang Islam dilarang mengambil bahan memudaratkan secara jelas atau tidak, secara segera atau perlahan-lahan boleh membawa kematian, kerosakan anggota, boleh membawa penyakit bahaya atau sebarang kemudaratan pada akal.

“Rokok elektronik dan vape termasuk dalam perkara jijik seperti memudaratkan dan bau yang busuk.

“Jika dilihat dari sudut Qiyas atau perumpamaan, penggunaan rokok elektronik dan vape bolehlah diibaratkan seperti perbuatan minuman bahan beracun atau menghisap rokok sebenar,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Muzakarah Khas Fatwa Kebangsaan di sini semalam.

Abdul Shukor berkata, rokok elektronik dan vape diharamkan berdasarkan Qaedah Saad al-Zaraia iaitu menutup keburukan yang lebih besar dan lebih bahaya yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Ke-37 di Kuala Lumpur pada 23 Mac 1995 turut telah memutuskan bahawa merokok adalah haram kerana terdapat kemudaratan.

Reply