Mahkamah Tolak Permohonan Reman Polis, Boy Iman Akhirnya BEBAS!
Selepas lima kali direman, Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Noruliman A Rahman atau ‘Boy Iman’ dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam selepas permohonan reman dikemukakan polis ditolak mahkamah.
Majistret Dianne Nigrad Nor Azhar menolak permohonan reman ke atas Boy Iman dan tiga lagi pengarah Juta Kelulut Global Resources berhubung kes penipuan jualan rumah banglo.
Boy Iman, 37 tahun, bersama tiga lagi individu berusia antara 30 hingga 45 tahun itu tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, pada 10.35 pagi.
Mereka ditahan di Ampang mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, pada 2 Oktober lalu.
Sehingga ini, 210 laporan polis dibuat mangsa seluruh negara dan satu daripadanya dipercayai dibuat di Pulau Pinang.
Peguam yang mewakili Boy Iman dan tiga lagi individu, Faizul Mohd Nasir, berkata anak guamnya itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) sebelum dibebaskan.
–HMetro