‘Rasa Seronok Kalau Sudah Mengaji, Sayang Nak Tinggal.. Tetap Datang Kelas Quran Walaupun Penat Sampai Tertutup Mata’ – Bandi Amuk
Bagi pencinta muzik rock tanah air pasti mengingati Bandi Amuk, yang cukup sinonim dengan topeng muka ketika berada di atas pentas.
Dia yang kini lebih selesa menjalani kehidupan sebagai bapa dan datuk dilihat sudah melepaskan topeng muka yang dahulu menyembunyikan wajahnya dari tatapan peminat.
Penyanyi rock popular, Bandi Amuk, (57 tahun) itu bersyukur apabila berjaya khatam selepas tiga tahun belajar mengaji al-Quran dari peringkat asas.
Bandi atau nama sebenarnya Nasabandi Jumat berkata, dia mula mengikuti pengajian sejak pertengahan 2017 dengan seorang ustaz.
“Saya cakap dengan ustaz itu untuk khatam dan dia alu-alukan. Alhamdulillah saya berjaya melakukannya. Selama tiga tahun belajar, dugaannya memang banyak. Walaupun boleh membaca al-Quran, saya pilih bermula dengan Iqra kerana nak betulkan tajwid dan mahraj. Itu yang buat jadi lama tapi tak kisahlah asalkan saya belajar.
“Sekarang, jika membaca surah Yassin saya boleh tahu mana harakat, mahraj dan sebagainya. Saya jadi seronok membaca surah Yassin kerana tahu mana nak berhenti,” katanya.
Bandi yang kini menetap di Johor Bahru berkata, jika ada persembahan di Sabah dan Sarawak, dia sanggup mengambil penerbangan awal supaya sempat belajar mengaji. Ada ketika saya sampai rumah jam 7 malam dan terus mandi serta bersiap-siap kerana kelas bermula jam 8.30 malam.
“Rasa sayang nak tinggal kerana kalau sudah mengaji memang terasa seronok. Saya nak pesan kepada sesiapa yang nak mengaji al-Quran, kalau boleh peluk dulu al-Quran, cium dan junjung atas kepala.
“Niat dalam hati semoga al-Quran ada dalam hati dan diri kita. Perasannya sangat seronok. Bukan tak boleh khatam sendiri di rumah tapi khatam di depan guru yang mengajar kita lain rasanya. Ia buat saya berhati-hati dan tak buat silap depannya,” katanya.
Bandi berkata, dia juga tidak mahu apa yang dilakukannya dianggap seperti menunjuk-nunjuk kepada peminat.
“Rakan saya ustaz Radin meminta izin untuk keluarkan di Facebook. Saya fikir kalau ini salah satu pemangkin untuk orang belajar baguslah. Tiada niat untuk saya riak.
“Saya akan sambung lagi belajar lepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya terlambat khatam kerana biasanya ada persembahan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad sedangkan Ahad ada kelas. Itu buat ia jadi tertangguh. Saya biasanya pulang ke Johor Bahru pada hari Isnin dan esoknya Selasa ada lagi kelas. Kadang-kadang badan terasa letih,” katanya.
Bandi mengakui dia pernah membaca al-Quran dalam keadaan mata tertutup kerana terlalu penat.
“Ustaz kasihan melihat saya dan kata tak payah datang kalau letih. Namun, saya tetap datang kerana sayang nak tinggal kelas. Lagipun saya tengok orang yang belajar kemudian sudah nak mendahului saya.
“Saya menyeru kalau boleh rakan-rakan dan masyarakat Islam yang lain belajar mengaji al-Quran kerana kita sebenarnya dah nak sampai penamat. Sekurang-kurangnya kita ada bekalan nanti,” katanya.
Dalam situasi pandemik Covid-19, Bandi kini membantu memasarkan perniagaan karipap sejuk beku hasil air tangan isterinya.